BREAKING NEWS

Friday, 2 June 2017

Pembela kecam Hannah Yeoh guna jawatan Speaker DUN kembang dakyah Kristian

Pertubuhan-pertubuhan Pembela Islam (Pembela) mengecam tindakan pemimpin parti rasis dan cauvinis DAP, Hannah Yeoh Tseow Suan menggunakan jawatan sebagai Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor untuk mengembangkan dakyah evangelis Kristian menerusi penerbitan bukunya, ‘Becoming Hannah’.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, Pembela dan gabungan pertubuhan Islam yang diwakilinya menyokong penuh pendedahan yang dibuat Pengarah Pusat Kajian Politik Malaysia (Mapan) Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Kamarul Zaman Yusoff berhubung isi kandungan buku itu baru-baru ini.

Katanya, pendedahan itu memanjangkan lagi bukti dan hujah yang dikemukakan oleh pelbagai pihak sebelum ini mengenai gerakan Evangelis Kristian melampau, digunakan kuasa imperialisme untuk mendominasi politik dunia termasuk negara-negara seperti Malaysia.

Jelas beliau, gerakan Evangelis dilihat semakin menular di kalangan umat Islam di negara ini meskipun ia jelas bertentangan dengan Perkara 3 (1) serta tidak menghormati Perkara 11 (4) Perlembagaan Persekutuan.

“Apakah bukan YB Hannah Yeoh sebagai Speaker DUN Selangor yang telah bertanggungjawab menghalang usul yang telah dibawa oleh ahli-ahli dewan yang beragama Islam untuk memperkasakan Islam termasuk usul menambah baik fungsi dan peranan mahkamah Syariah di negeri itu dengan alasan tidak munasabah?

“Apakah yang dimaksudkan oleh YB Hannah Yeoh dalam muka surat 110 di dalam buku beliau Becoming Hannah: “God wants to reclaim politics and public service in Malaysia for righteousness sake?,” katanya kepada Ismaweb, dalam satu sidang media di sini, hari ini.

Aminuddin berkata, Pembela juga mengecam respon balas yang melampau ke atas Dr Kamarul, sedangkan beberapa persoalan yang dibangkitkan ahli akademik itu tidak dijawab oleh Hannah Yeoh dan penyokongnya.

“Kami yakin pendirian Dr Kamarulzaman telah mendapat bukan sahaja sokongan daripada barisan peguam serta para akademik Muslim, malah majoriti umat Islam di negara ini,” katanya.

Justeru tegas beliau, Pembela mendesak pihak berkuasa khususnya Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat Hannah Yeoh mengikut Seksyen 4 (1)(a) Enakmen Kawalan dan Sekatan (Pengembangan Agama Bukan Islam) Selangor 1988.

“Kita juga mendesak PDRM menyiasat Hannah Yeoh atas penglibatan dengan gerakan atau usaha yang mencabar dan tidak menghormati Perlembagaan Persekutuan pada Perkara 3 (1) Islam adalah agama Persekutuan serta Perkara 11(4).

“Kita juga menuntut agar pihak berkuasa khususnya Kementerian Dalam Negeri memantau dan mengambil tindakan tegas ke atas sebarang usaha gerakan evangelist Kristian yang cuba memesongkan akidah umat Islam serta menggugat kestabilan politik pemerintahan berpaksikan kedaulatan Islam di negara ini.

“Pembela juga memohon ampun perkenan KDYMM Sultan Selangor selaku Ketua Agama Islam bagi negeri itu supaya menitahkan Hannah Yeoh tidak lagi menggunakan jawatan Speaker DUN untuk mengembangkan dakyah Kristian,” katanya.

SUMBER 
 
Copyright © 2014 PenangKini.