BREAKING NEWS

Wednesday, 14 June 2017

Pulau Pinang - Polis diarah pantau pembiayaan dana politik kongsi gelap

Polis Diraja Malaysia (PDRM) diarah membuat pemantauan dalam kegiatan pembiayaan kumpulan kongsi gelap ke atas parti politik tertentu, terutama di Pulau Pinang, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. 

Menurut beliau sebagai permulaan, polis perlu membanteras kegiatan perjudian haram yang menjadi sumber kepada ‘tauke besar’ untuk disalur tujuan dana politik terutamanya bagi musim Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) semakin hampir.

“Untuk Pulau Pinang, masalah perjudian adalah jenayah yang paling tinggi. Justeru, saya minta Ketua Polis Negeri, Datuk Chuah Ghee Lye fokus untuk selesaikan aktiviti ini. 

“Lebih khuatir lagi, ada dalam ‘tauke besar’ ini melakukan pembiayaan kepada parti politik tertentu. Oleh sebab itu, kita perlu hapuskan aktiviti perjudian di Pulau Pinang,” katanya ketika berucap pada Program Penerapan Nilai-Nilai Murni Kementerian Dalam Negeri (KDN) di Masjid Daerah Barat Daya, Selasa.

Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed, Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Pulau Pinang ,Dato Seri Zainal Abidin Bin Osman, Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahaya, Timbalan Menteri Luar, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
 
Copyright © 2014 PenangKini.