BREAKING NEWS

Tuesday, 13 June 2017

Prasarana akan ambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang

PRASARANA Malaysia Bhd secara rasminya akan mengambil alih perkhidmatan feri Pulau Pinang daripada pengendali sekarang Penang Port Sdn Bhd (PPSB) bermula bulan depan, menamatkan ketidaktentuan nasib perkhidmatan feri itu.

Satu sumber memberitahu akhbar harian bahasa Inggeris, The Star yang Prasana akan mengambil alih perkhidmatan feri itu yang akan mula dikenali sebagai ‘rapidFerry” dengan jumlah bayaran RM1 dan Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) Tan Teik Cheng mengesahkan peringkat akhir perbincangan urus niaga itu sudah selesai dan sedang menunggu pengesahan Kabinet. PPC akan kekal sebagai penyelia perkhidmatan itu.

Sumber itu juga menambah yang rundingan itu sukar kerana salah satu syarat yang dibincangkan sebelum ini ialah untuk menghentikan perkhidmatan feri itu selama dua hingga tiga tahun selepas pengambilalihan.

“Tetapi Kementerian Pengangkutan tidak meluluskan syarat itu. Terlalu banyak nilai pelancongan dan warisan dalam perkhidmatan feri di Pulau Pinang,” kata sumber itu lagi.


Dilaporkan yang sejak 1985 apabila Jambatan Pulau Pinang dibuka, setiap feri kerugian sekurang-kurangnya RM700 untuk setiap perjalanan dan dipercayai PPSB akan membayar jumlah besar secara tahunan kepada Prasarana selama beberapa tahun untuk membantunya menampung kerugian.

Prasarana merupakan pembekal pengangkutan awam terbesar di Malaysia juga mengendalikan bas Rapid Penang. Tiada pengumuman dilakukan Prasarana setakat ini tetapi The Star melaporkan yang Rapid Penang sudah memuat naik logo rapidFerry di akaun Facebook mereka Jumaat lalu. – 12 Jun, 2017.
 
Copyright © 2014 PenangKini.