BREAKING NEWS

Friday, 30 June 2017

Projek Terowong Dasar Laut: SPRM Wajar Siasat segera

Dua EXCO kanan kerajaan DAP Pulau Pinang didesak memperjelaskan kenyataan bercanggah berhubung isu bayaran rundingan bagi pembinaan tiga jalan utama di bawah projek terowong dasar laut di negeri ini.

Desakan itu dibuat susulan kenyataan EXCO Kerajaan Tempatan, Tebatan Banjir dan Lalu Lintas negeri, Chow Kon Yeow berhubung isu berkenaan, yang didakwa bercanggah dengan jawapan dikemukakan EXCO Kerja Raya, Utiliti dan Pengangkutan negeri, Lim Hock Seng, pada Sidang DUN 22 Mei lalu.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Muhammad Farid Saad, berkata EXCO berkenaan perlu menjelaskan sama ada RM177.5 juta daripada RM209 juta yang dibayar kepada Zenith Construction itu termasuk bagi Kajian Impak Alam Sekitar (DEIA) projek terbabit atau sebaliknya.

“Saya menggesa kedua-dua EXCO ini tampil memberi penjelasan mengenai mana satu kenyataan yang benar dan boleh dijadikan rujukan.

“Jika kenyataan Kon Yeow adalah betul, maka Hock Seng sudah memberikan jawapan palsu kepada DUN Pulau Pinang dan perlu dikenakan tindakan kerana mengelirukan DUN,” katanya ketika dihubungi BH, di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Kon Yeow dilapor berkata, bayaran penuh RM209 juta bagi projek terbabit merangkumi DEIA, biar pun Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) projek terbabit belum siap sepenuhnya.

Pada 22 Mei lalu, Hock Seng bagaimanapun mengemukakan jawapan pada sidang DUN Pulau Pinang bahawa jumlah bayaran penuh itu tidak termasuk kadar rundingan DEIA bagi projek mega itu.

- Bicara News
 
Copyright © 2014 PenangKini.