BREAKING NEWS

Saturday, 3 June 2017

Proton dijangka rugi RM1 bilion jika tidak distruktur semula - DS Najib Razak


Proton Holdings Bhd (Proton) dijangka akan mengalami kerugian sebanyak RM1 bilion pada tahun ini sekiranya syarikat automotif nasional itu tidak distruktur semula, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketika menegaskan perkara itu, perdana menteri berkata pada tahun lepas misalnya, kerugian syarikat itu mencecah RM500 juta berikutan prestasi jualan yang tidak memberangsangkan iaitu sekitar 72,000 unit setahun dan 6,000 unit sebulan.

“Pada tahun lepas kerajaan bantu dengan memberi pinjaman mudah RM1.5 bilion. Tahun ini minta lagi (daripada kerajaan untuk) R&D (penyelidikan dan pembangunan) pula RM1.1 bilion.
“Ini duit rakyat yang kita gunakan untuk selamatkan Proton kerana 60,000 orang bergantung rezeki dengan Proton…jadi berapa lama lagi kita perlu beri (sumbangan duit rakyat),” kata Najib.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis berbuka puasa dan pelancaran Projek Lampu Jalan Kampung Fasa Lapan (LJK8) di Masjid Paroi Jaya, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Najib menegaskan, penstrukturan semula Proton bukan keputusan yang berlandaskan emosi sebaliknya dilakukan atas dasar “hidup dan mati” syarikat itu.

“Kita tak mahu perniagaan yang mati, perniagaan yang lumpuh, tetapi perniagaan yang untung. Kita tak boleh bangga dengan kereta nasional tetapi (hakikatnya ia) rugi berbilion-bilion. Kita lebih bangga dengan kereta nasional yang memberi untung serta faedah kepada kita.

“Apa yang penting adalah mesti menguruskan perniagaan sehingga membawa kepada keuntungan,” kata Najib.

Jelas perdana menteri, keputusan itu juga bukanlah berkisar kepada soal untuk mempertahankan 100% pegangan, sebaliknya adalah lebih baik untuk memiliki 51% kepentingan dengan turut meraih keuntungan.

Beliau menegaskan, dalam soal ini terdapat 2 pilihan iaitu memiliki pegangan 100% tetapi rugi beratus-ratus juta atau pegangannya berkurangan namun mencatat keuntungan mencecah ratusan juta.
“Sebab itulah kita buat pilihan kedua iaitu lebih baik pegangan dikurangkan tetapi perniagaan kita (meraih) untung,” katanya.

Sehubungan itu, Najib menggesa rakyat untuk memahami rasional di sebalik isu berkenaan.
“Kita akan lakukan yang terbaik untuk rakyat Malaysia dan bukannya nak tipu rakyat. Begitu juga dengan (pelaksanaan) GST (Cukai Barang dan Perkhidmatan) kerana kita mahu kewangan negara kita kukuh.

“GST ini akan disalurkan kepada bidang termasuk kesihatan dan sekolah. Terbaru, (pemberian) bantuan khas kewangan RM500 sempena Aidilfitri kepada penjawat awam dan RM250 untuk pesara yang berjumlah RM1 bilion,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.