BREAKING NEWS

Thursday, 8 June 2017

Tabung Haji mahu bina kompleks di Mekah dan Madinah

Tabung Haji merancang untuk membina kompleks sendiri di Mekah dan Madinah bagi memudahkan umat Islam negara ini mengerjakan haji dan umrah. Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah berada di Arab Saudi bagi melihat beberapa  cadangan tanah yang akan dipajak selama 100 tahun.

Menurut beliau, cadangan tersebut adalah atas permintaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pertemuan dengan Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz Al-Saud baru-baru ini. Beliau yakin, dengan usaha berterusan dan hubungan baik antara Perdana Menteri dan Raja Salman, Kompleks Tabung Haji di Mekah dan Madinah akan dapat direalisasikan.

“Insya Allah, dalam masa terdekat ini, kita akan pastikan tanah mana yang kita bersetuju dan kita akan memeterai perjanjian,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan zakat dan sumbangan kepada 1,000 asnaf dan golongan kurang bernasib baik sempena program Ziarah Ramadan Parlimen Kampar di sini hari ini.

 Hadir sama Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Tualang Sekah, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dan Ketua UMNO Bahagian Kampar, Datuk Mohammed Radzi Manan. Abdul Azeez memberitahu, selain wang zakat RM7 juta daripada Yayasan Tabung Haji yang diagihkan kepada asnaf, UMNO turut menyumbang RM8 juta lagi untuk sumbangan kepada golongan yang kurang bernasib baik seperti orang kurang upaya (OKU).

Menurutnya, kira-kira 121,000 umat Islam di seluruh negara, termasuk Sabah dan Sarawak menerima sumbangan itu, tanpa batasan politik. Menurutnya, di Perak, tujuh parlimen di pilih untuk menerima sumbangan itu di mana setiap parlimen menerima RM300,000.

Sumber : Menara.my
 
Copyright © 2014 PenangKini.