BREAKING NEWS

Thursday, 22 June 2017

Terowong dasar laut: Guan Eng didesak perinci bayaran perunding

22 JUN: Selepas Pengarah Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan memberi masa seminggu kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memberi penjelasan berhubung isu kadar yuran perunding bagi pembinaan tiga jalan di bawah projek terowong dasar laut di negeri itu hari ini UMNO Pulau Pinang pula mendesak Ketua Menteri Lim Guan Eng memperincikan bayaran kepada pemegang konsesi yang didakwa empat kali ganda lebih mahal.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata pihaknya juga ingin tahu mengapa bayaran oleh kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM177.5 juta itu dibuat lebih awal tanpa melihat kerja-kerja projek tersebut secara fizikal.
“Kita semua maklum di Pulau Pinang, kerajaan negeri dari semasa ke semasa memberitahu rakyat menjadi keutamaan dalam tindakan serta agenda kerajaan negeri, jadi UMNO mewakili rakyat inginkan penjelasan daripada Lim berhubung pembayaran awal tersebut.
“Pihak kontraktor dan konsultan projek itu telah dibayar tetapi saya difahamkan (projek terowong dasar laut) ditangguhkan hingga tahun depan jadi apa kerja mereka buat dengan bayaran yang begitu banyak?” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kuih Raya kepada anggota polis, penjara, hospital dan PLUS yang bertugas pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
Zainal Abidin berkata kerajaan negeri seharusnya menggunakan khidmat Jabatan Kerja Raya (JKR) yang mempunyai kepakaran dan gaya profesional tinggi serta kemahiran dan kepakaran untuk menasihati dalam kes-kes jalan raya ataupun terowong.
“Mengapa lantik konsultan sedangkan ada JKR untuk kerja-kerja awal. Jika tidak berpuas hati dengan kerja JKR, kerajaan negeri bolehlah lantik konsultan tambahan tetapi JKR langsung tidak dilantik atau dirujuk untuk menyumbang kepakaran bagi projek itu kepada kerajaan negeri,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Zainal Abidin yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang mahu kerajaan negeri menjalankan siasatan dalaman dan mengambil langkah sewajarnya berhubung dakwaan berlaku penyelewengan kuota perumahan bumiputera yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) baru-baru ini.
“Kami mahu SPRM menyiasat perkara itu secara teliti dan meluas kerana isu perumahan adalah penting dan merupakan agenda utama kerajaan persekutuan untuk rakyat,” katanya.
Khamis lepas, SPRM menahan dua individu iaitu Pengarah Urusan sebuah syarikat pemaju perumahan dan Ketua Bahagian Jualan dan Pemasaran syarikat tersebut kerana dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan perjanjian jual beli (S&P) unit-unit sebuah projek kondominium di Pulau Pinang.
Pengarah SPRM Negeri, Datuk Aziz Aban dilaporkan berkata kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kegiatan pemalsuan perjanjian S&P menggunakan 20 penama sebagai pembeli kuota bumiputera bagi pembelian unit-unit kondominium di Batu Feringghi.


 
Copyright © 2014 PenangKini.