BREAKING NEWS

Wednesday, 14 June 2017

TPM lulus RM4j naik taraf masjid Al-Qahhar di Permatang Damar Laut

BAYAN LEPAS: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan peruntukan RM4 juta bagi kerja naik taraf Masjid Al-Qahhar di Permatang Damar Laut di sini, malam ini. 

Ahmad Zahid berkata, peruntukan itu akan disalurkan melalui dua fasa bagi membolehkan masjid lamaberkenaan dibina semula bagi keselesaan jemaah.

 "Masjid perlu diimarahkan sebagai institusi masyarakat yang tidak ada perbalahan ummah. "Jika ada perbezaan pendapat sekali pun, biarlah ia diselesaikan di luar masjid," katanya ketika berucap.

 Pada majlis sama, beliau turut menyampaikan sumbangan zakat kepada 150 asnaf, fakir miskin dan orang kelainan upaya di kawasan Parlimen Balik Pulau.

 Terdahulu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri tiba di masjid berkenaan kira-kira jam 8.45 malam bagi menunaikan solat Isyak dan Tarawih bersama kira-kira 300 jemaah.

 Turut hadir, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Pengerusi UMNO Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Setiausaha UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir. -BH
 
Copyright © 2014 PenangKini.