BREAKING NEWS

Monday, 5 June 2017

Tun M diperalat untuk jadi PM















KUALA LUMPUR 3 Jun - Pada usia mencecah 91 tahun, Tun Dr. Mahathir Mohamad dipercayai dipergunakan oleh individu tertentu yang menggunakan imej bekas Perdana Menteri itu untuk menawan Putrajaya pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).
Tun Dr. Mahathir Mohamad 
Bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Kamarul Azman Habibur Rahman berkata, amat tidak logik untuk DAP yang mengetuai Pakatan Harapan atau PKR sendiri akan membiarkan Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Katanya, mungkin ada dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan cuba memberi angan-angan kepada Dr. Mahathir untuk menjadi Perdana Menteri, tetapi menyifatkan perkara itu ha­nyalah propaganda politik untuk menarik perhatian rakyat.
“Adakah DAP atau PKR sedia memberikan PPBM agihan kerusi paling banyak pada PRU-14 sehingga membolehkan Dr. Mahathir berhak menuntut jawatan Perdana Menteri?
“Harap Dr. Mahathir sedar diri bahawa beliau sedang diper­main-mainkan oleh pihak yang mengimpikan kuasa. Mereka cu­ba menggunakan imej bekas Perdana Menteri itu untuk berdepan Barisan Nasional (BN),” katanya kepada Mingguan Malaysia di sini, hari ini.
Kelmarin, Pengerusi PPBM itu dalam satu sesi soal jawab yang disiarkan secara langsung menerusi Facebook mengakui beliau berkemungkinan terpaksa mempertimbangkan menjadi Per­dana Menteri semula sekiranya itu yang dimahukan oleh kepe­mimpinan Pakatan Harapan yang diketuai DAP.
Pengakuan Dr. Mahathir itu menimbulkan lagi kekeliruan orang ramai mengenai calon Perdana Menteri daripada Pakatan Harapan memandangkan Konvensyen Nasional PKR bulan lalu telah membuat penegasan mahukan Anwar sebagai Perdana Menteri ketujuh jika Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya.
Tambah Kamarul Azman, beliau yang menjadi antara individu yang menggerakkan penubuhan PPBM tidak melihat ada peluang kepada Dr. Mahathir untuk kembali menjadi Perdana Menteri menerusi Pakatan Harapan yang dianggotai oleh parti-parti yang bernafsu merampas Putrajaya.
 
UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.