BREAKING NEWS

Friday, 23 June 2017

Wong Soon Koh Tidak Gentar Saman DAP

Menteri Kewangan Kedua, Dato Sri Wong Soon Koh menegaskan beliau tetap dengan pendiriannya bersedia menghadapi tuntutan saman daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak berhubung dakwaan fitnah terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pujut, Dr Ting Tiong Choon

“Silakan, saya sudah bersedia. Ini sahaja saya mahu katakan: ‘Who laughs last, laughs best’,” katanya.

Memetik laporan Utusan Borneo, Dr Ting telah menfailkan saman fitnah terhadap Soon Koh kerana kenyataannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak yang lalu mendakwa Dr Ting bankrap di Australia serta mempunyai dua kerakyatan.

Wong bagaimanapun berkata beliau bersedia menghadapi isu tersebut di mahkamah sekiranya DAP mahu meneruskan saman.

Terdahulu, Dr Ting telah menggesa Wong memohon maaf secara terbuka dan menarik balik kenyataan fitnah ke atasnya sebelum mengambil tindakan undang-undang.

Wong bagaimanapun enggan melakukannya, dan membuat laporan polis terhadap Ting kerana didakwa mengelirukan pengundi Pujut mengenai status kewarganegaraannya.

Menurut Wong, beliau membuat kenyataan berhubung status Dr Ting yang diisytiharkan sebagai bankrap sebanyak dua kali di Australia, semasa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah berdasarkan fakta dan pencarian rasmi yang dilakukan di Pejabat Insolvensi dan Kebankrapan Australia.

Wong, yang juga presiden Parti Rakyat Bersatu (UPP), mengemukakan usul memecat Ting pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak pada 12 Mei kerana didakwa mempunyai dua kerakyatan. - Sarawakiana
 
Copyright © 2014 PenangKini.