BREAKING NEWS

Wednesday, 19 July 2017

ANGGOTA PARLIMEN MAHASISWA PERLU TAMPIL KEHEBATAN KEPEMIMPINAN

FW595170_KL42_180717_MAHASISWA-scr.jpg

Peserta Parlimen Mahasiswa perlu merebut peluang menampilkan kepimpinan mereka di dalam dewan kerana mereka 'diintai' sebagai pelapis calon pilihan raya, kata Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.
Beliau berkata peluang tersebut boleh menjadi kenyataan jika peserta mempunyai ciri kepimpinan dikehendaki bagi mewakili suara rakyat di Dewan Rakyat.
"Ada wakil yang memerhati untuk diambil sebagai 'ayam sabung' mereka dalam pilihan raya akan datang. Ini merupakan peluang untuk menonjol diri, menampilkan kehebatan sebagai ahli politik masa depan di negara ini," katanya dalam ucapan aluan pada Jamuan Tengah Hari Bersama Yang Dipertua Dewan Rakyat bersempena program Persidangan Parlimen Mahasiswa semalam
Turut hadir Presiden Majlis Bekas Wakil Rakyat Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Rahman.
Hari ini merupakan hari pertama persidangan yang masuk tahun ketiga itu setelah empat hari program dipenuhi dengan sesi taklimat dan simulasi termasuk berkenaan peraturan dan adab bersidang.
Kiandee turut berpuas hati dengan persidangan hari ini kerana peserta mengikut peraturan dan adab yang ditetapkan.
Abdul Aziz dalam ucapannya berkata mahasiswa hari ini perlu sedar landskap politik telah berubah dan usia muda tidak patut menjadi penghalang individu untuk menjadi pemimpin masyarakat.
"Di Scotland seorang pelajar tahun kedua berusia 21 tahun telah menjadi anggota Parlimen, dan masih meneruskan pelajaran, cabaran sebegini perlu menjadi motivasi mahasiswa di negara ini agar mereka boleh memimpin pada usia yang masih muda," katanya.
Katanya peserta tahun ini juga perlu mengekalkan rekod persidangan tahun lalu yang ditarafkan sebagai cemerlang oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia.
Persidangan hari ini membahaskan usul yang dibawa oleh Mohd Amar Md Hilmi daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia yang meminta Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperhebatkan usaha secara kolektif dalam membangunkan ekosistem inovasi pendidikan tinggi yang memberi tumpuan kepada keberhasilan yang melebihi input seiring dengan usaha mereka.
Seramai 20 orang anggota persidangan mengambil bahagian membahaskan usul berkenaan, manakala hari terakhir persidangan esok akan menyaksikan usul yang akan dibawakan oleh Muhammad Al-Razi Muhaiedin daripada Universiti Tun Abdul Razak.
Usul berkenaan mengambil ketetapan supaya segala usaha pembentukan nilai tambah perlu diperhebat dan diperluaskan seiring dengan pelaksanaan Transformasi Nasional 2050 (TN50).
 
Copyright © 2014 PenangKini.