BREAKING NEWS

Monday, 31 July 2017

Anugerah palsu bukti kegagalan prinsip CAT


PULAU PINANG 30 Julai ­– Kontroversi pembabitan dua pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dalam anu­gerah ‘scam’ memperlihatkan kegagalan prinsip Cekap, Akauntabiliti dan Te­lus (CAT) yang ko­nonnya diamalkan Kerajaan DAP Pulau Pinang.

Sambil melahirkan rasa kesal de­ngan perkara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, kontroversi anugerah Europe Bussiness Assembly (EBA) itu juga memalukan seluruh penduduk negeri ini.

Katanya, adalah lebih wajar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) menum­pukan kepada memberikan per­khidmatan terbaik kepada rakyat negeri ini daripada membelanjakan wang pembayar cukai untuk mengejar anugerah dan pengiktirafan.

“Ini kerana pengiktirafan yang lebih penting dan utama akan datang daripada rak­yat yang berpuas hati dengan perkhidmatan yang diberikan oleh kedua-dua PBT berkenaan,” katanya dalam satu kenya­taan di sini hari ini.
Semalam, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pi­nang (MBPP), Datuk Maimunah Mohd. Sharif me­ngakui ter­dapat bayaran di­buat MBPP dan MPSP dalam pene­rimaan anugerah daripada EBA susulan pendedahan akhbar Cina anugerah tersebut adalah palsu.

Menurut Maimunah, bayaran itu masing-masing sebanyak RM20,680 oleh Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) (kini Majlis Bandaraya) pada 2013 dan RM18,480 oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) pada 2014.
Sementara itu, Zainal Abidin menyarankan MBPP dan MPSP lebih berhati-hati pada masa hadapan apabila ditawarkan anugerah dan pengiktirafan oleh pihak-pihak luar.

Dalam masa sama, beliau menegaskan, jabatan, agensi dan badan berkanun di bawah kelolaan Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang akan terus komited memberi khidmat kepada penduduk negeri ini.

"Kita juga akan terus memperbaiki mutu kerja dari semasa ke semasa selaras dengan hasrat Kerajaan Persekutuan untuk memastikan sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat menyeluruh dan berkesan," katanya.


 
Copyright © 2014 PenangKini.