BREAKING NEWS

Wednesday, 19 July 2017

Apandi: Saya hanya takut Allah, tak sembunyi tentang 1MDB

Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, tiada apa yang disembunyikan berhubung siasatan ke atas dakwaan membabitkan 1MDB.
Beliau menolak dakwaan bekas perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam, dengan berkata beliau tidak takut kepada sesiapa pun.
“Saya tidak takut sesiapa pun termasuk Dr Mahathir. Saya tidak tahu mana-mana orang, tetapi saya takut Allah.
“Apa sahaja yang saya buat sebagai peguam negara semuanya berdasarkan kepada fakta sedia ada yang terkandung dalam kertas siasatan. Tiada apa untuk disembunyikan,” katanya kepada FMT menerusi SMS, hari ini.
Apandi mengulas laporan memetik Dr Mahathir yang memberi bayangan tindakan akan diambil terhadapnya berhubung skandal 1MDB, jika Pakatan Harapan memenangi pilihan raya umum akan datang.
“Kalau nak tahu peguam negara buat salah atau tidak, bagi kemenangan kepada PH.

“Bila kita menang, kita akan kata…‘Hey peguam negara, awak buat salah atau tidak sembunyi bukti jenayah?’ Pada masa itu dia akan tahu.
“Jadi nak sampai ke situ kena bagi PH menang,” kata Dr Mahathir selaku pengerusi Pakatan Harapan di sebuah ceramah di Shah Alam, malam tadi.
Tahun lalu, Apandi membersihkan nama perdana menteri daripada sebarang salah laku berkaitan 1MDB.
Datuk Seri Najib Razak turut menafikan sebarang salah laku dan berkata, RM2.6 bilion yang diterimanya adalah sumbangan keluarga diraja Arab Saudi untuk membantu kempen pilihan raya Barisan Nasional.
Apandi menggantikan bekas peguam negara, Tan Sri Abdul Gani Patail pada 28 Julai 2015.
Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa dilaporkan berkata, perkhidmatan Gani ditamatkan mulai 27 Julai atas sebab kesihatan.FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.