BREAKING NEWS

Friday, 28 July 2017

Armada tidak ikhlas, memang nak cetus provokasi - Muammar Ghadafi

SHAH ALAM: Exco Pergerakan Pemuda Umno, Muammar Ghadafi Jamal Jamaluddin menafikan sayap itu yang memulakan provokasi terhadap kumpulan Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) sehingga mencetuskan kekecohan di hadapan Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada petang semalam.

 

Beliau berkata, Pemuda Umno hanya bertindak balas selepas provokasi itu dimulakan oleh sayap pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu sejak awal. 

 

Tambahnya, Armada sebenarnya tidak ikhlas mahu menghantar jemputan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Razak untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0. 

 

"Tanyalah siapa-siapa pun, jemputan itu bukan niat sebenar mereka, provokasi itulah niat yang sebenarnya," katanya kepada Antarapos.

 

Muammar berkata, beliau yakin Umno tidak mempunyai masalah sekiranya jemputan itu dilakukan secara berhemah serta dengan niat yang ikhlas. 

 

"Pada pandangan saya, paling penting, kalau nak beri surat, beri saja senyap-senyap. Tak perlu posting (di media sosial) untuk dapatkan liputan media.

 

"Nampak sangat tujuannya bukan untuk beri surat sangat, tapi tujuannya untuk buat provokasi. Jadi pergilah atas niat yang ikhlas, buat benda yang betul.

 

"Kenapa perlu buat posting awal-awal. Pada saya apa yang dibuat Armada itu tak betul daripada awal," katanya lagi.      

 

Semalam kedua-dua sayap pemuda Umno dan PPBM itu bertembung di hadapan pusat membeli belah Sunway Putra menuju ke PWTC, berpunca dari tindakan Armada yang mahu menghantar jemputan kepada Najib untuk menghadiri forum Nothing To Hide 2.0.

 

Forum yang dianjurkan Pakatan Harapan (PH) itu akan diadakan pada awal bulan depan, bertujuan untuk menjawab pelbagai persoalan yang akan dibangkitkan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB). 

 

Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini menyelar Pemuda Umno yang didakwa tidak 'gentleman' apabila cuba menghalang Armada yang hanya ingin menyampaikan jemputan. 


Sumber : Antara Post
 
Copyright © 2014 PenangKini.