BREAKING NEWS

Monday, 31 July 2017

BN tidak anak tirikan Pulau Pinang - Johari Ghani

Kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak pernah mengabaikan tanggungjawab untuk memberikan pembangunan infrastruktur kepada Pulau Pinang walaupun pentadbiran negeri itu kini dipimpin oleh pembangkang, kata anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.
Beliau berkata asas fundamental di Pulau Pinang dibina oleh kerajaan BN terdahulu dan kini dinikmati oleh parti pembangkang yang mengambil alih pentadbiran sejak 2 penggal ini.
“Kita tidak anak tiri mana-mana negeri yang mempunyai potensi untuk berkembang, contohnya dalam konteks Lapangan Terbang Pulau Pinang.
“Ia telah mencapai peringkat agak kritikal setelah kapasiti penumpang sekarang sudah mencapai 6.7 juta dan kami sedang melihat bagaimana nak perluaskan lapangan terbang ini,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Bayan Baru di sini, hari ini.
Katanya, BN tidak buat politik yang menahan pembangunan, selagi pembangunan boleh memanfaatkan masyarakat, kerajaan pusat akan terus memberikan bantuan yang sepatutnya.

“Pembangkang suka cakap ‘straight foward’ dan tiada fakta sehingga kadang-kadang kita malas nak layan. Namun lihat di Pulau Pinang, mereka sudah mentadbir sejak 2008, tetapi apa yang mereka lakukan? Mereka hanya ‘mencantikkan’ pelbagai dasar diperkenal BN sahaja,” katanya.
Sementara itu, Johari yang juga Menteri Kewangan II berkata pembangkang tidak mempunyai asas dalam memberikan janji untuk menghapuskan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).
Beliau berkata dalam politik, janji memang mudah dilafazkan tetapi rakyat juga mahu tahu bagaimana ia akan dilaksanakan.
“Pembangkang harus menyatakan bagaimana mereka mahu mengimbangi defisit bajet dan bagaimana mahu membiayai projek infra kerajaan yang sedang berlangsung untuk kepentingan rakyat dengan pemansuhan pendapatan RM41 bilion daripada GST,” katanya.
Beliau juga berkata kerajaan kini menyasarkan peningkatan kadar Keluaran Dalam Negeri Kasar sebanyak RM2 trilion dalam 2 tahun lagi, berbanding RM1.2 trilion yang dilaporkan sekarang.
 
Copyright © 2014 PenangKini.