BREAKING NEWS

Thursday, 13 July 2017

Dap Sepatutnya Berterima Kasih Kepada ROS Bukan Cuba Main Politik Putar


PULAU PINANG  – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Betong, Datuk Sr. Muhamad Farid Saad berkata, Dap seharusnya berterima kasih kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) kerana telah memberi masa yang cukup lama kepada mereka bagi menyelesaikan isu pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC).
Jelas beliau, hanya keran sikap angkuh dan tidak mahu mendengar arahan malah suka memanipulasikan undang-undang menyebabkan Dap bersikap ‘ketegaq’ dan membiarkan permasalahan pemilihan CEC berlarutan dan pada akhirnya ROS yang akan dijadikan kambing hitam untuk dipersalahkan.
“Selama hampir empat tahun, banyak pihak menyalahkan ROS kerana memberikan masa yang cukup lama kepada Dap. Jadi kini Dap seharusnya bersikap serius dan selesaikan perkara ini dengan segera kerana ini adalah hal besar dan berkaitan dengan maruah parti mereka.
“Janganlah hanya kerana mahu bermain politik maka Dap meneruskan sikap ego yang akhirnya menyebabkan parti mereka ditimpa masalah dan bila ROS bertegas maka ROS dan kerajaan pimpinan Barisan Nasional (BN) dipersalahkan kerana kononnya mempunyai agenda politik bagi menghancurkan Dap”,
Tambah Farid, musim pilihan raya sudah semakin hampir maka Dap perlu melakukan sesuatu agar parti mereka dapat bertanding tanpa sebarang masalah di masa hadapan.
“Kita bukanlah nak tunjuk pandai tetapi kita belajar daripada pengalaman. UMNO pernah mengalami masalah sebegini tetapi kini dengan penuh maruah menangani masalah ini dengan baik.
“Kita tidak salahkan orang lain jadi Dap sepatutnya bersikap profesional dan jangan berpolitik kepada perkara yang tidak perlu.
“Dap perlu ingat bahawa ROS adalah adalah badan yang bertindak bagi menjaga mana-mana ahli pertubuhan termasuk pertubuhan politik kerana perlembagaan menjadi asas kepada parti politik atau pertubuhan yang berkaitan,” ujarnya lagi.
Baru-baru ini Ketua Pengarah ROS Datuk Mohammad Razin Abdullah telah mengarahkan agar Dap mengadakan semula pemilihan CEC bagi membolehkan perwakilan memilih 20 anggota yang sah dan diiktiraf.
Untuk rekod, masalah pemilihan CEC bermula selepas berlaku kesilapan teknikal dalam kiraan undi ketika pemilihan parti itu pada Disember, 2012.
Kesilapan itu kemudian menyebabkan ahli yang tidak berpuas hati memfailkan aduan kepada ROS dan menyebabkan pemilihan CEC diisytiharkan tidak sah. Dap kemudian mengadakan pemilihan semula pada September 2013.
ROS kemudiannya mengarahkan agar pemilihan tersebut sekali lagi diadakan apabila pemilihan kedua itu juga didapati tidak sah dari segi undang-undang.
Pemilihan semula yang diadakan itu sepatutnya berdasarkan kepada senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC Dap bertarikh 15 Disember 2012, iaitu yang melibatkan 2,576 perwakilan dari 865 buah cawangan.
Ini kerana hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan parti Dap.
Namun sehingga kini Dap masih tidak melakukan semula pemilihan CEC sebaliknya terus bermain tarik tali dengan menyalahkan pihak lain kononnya mempunyai agenda politik bagi merosakkan parti Dap.


 
Copyright © 2014 PenangKini.