BREAKING NEWS

Saturday, 15 July 2017

Hukuman Sebat Terbuka Sudah Lama Dibuat Di Sabah

KOTA KINABALU – Hukuman rotan secara terbuka di khalayak ramai sebenarnya bukan menjadi perkara baharu lagi di negara ini.


Malah hukuman tersebut yang bakal dilaksanakan di Kelantan, dilaporkan pernah dilakukan di sebuah mahkamah syariah di Sabah sebelum ini.
Ketua Hakim Syarie Sabah, Datuk Jasri Nasip Matjakir berkata, kali terakhir hukuman tersebut dilakukan di Sabah adalah pada tahun lalu.
Perlaksanaan hukuman sebat itu dilakukan di Mahkamah Syariah Tawau yang membabitkan dua pesalah setelah disabitkan kesalahan.
Jasri bagaimanapun berkata, perlaksanaan hukuman itu hanya dilakukan di dewan mahkamah syariah bersaksikan orang ramai yang hadir di mahkamah terbabit.
“Selain itu, pada 2014 juga ada seorang pesalah wanita dikenakan hukuman rotan tetapi ditangguhkan selepas pesalah terbabit disahkan sedang hamil oleh pegawai perubatan.
“Wanita itu disabitkan kesalahan melakukan persetubuhan haram dan dijatuhi enam sebatan, penjara tiga tahun serta denda sebanyak RM5,000.
“Bagaimanapun, atas permintaannya dia hanya dihukum sebat sahaja,” ujar Jasri yang dipetik portal BH Online.
Pendedahan tersebut disuarakan oleh Ketua Hakim Syarie Sabah itu ketika ditemui pada Majlis Pentauliahan Peguam Syarie Mahkamah Syariah Negeri Sabah.
Beliau berkata sedemikian sebagai ulasan terhadap keputusan kerajaan Kelantan untuk melaksanakan hukuman sebat di khalayak ramai, bermula September depan.
Ketua Hakim Syarie Kelantan, Datuk Daud Muhammad dilaporkan mendakwa negeri Pantai Timur Semenanjung itu sebagai yang pertama berbuat demikian di negara ini.
Mengulas lanjut, Jasri berkata hukuman sebat terhadap wanita dijalankan di Mahkamah Syariah berdasarkan cadangan daripada pihak Jabatan Penjara berikutan hukuman itu tidak dapat dilakukan di dalam penjara.
Sebelum perlaksanaan hukuman, pegawai kesihatan tempatan perlu memeriksa dan mengesahkan tahap kesihatan pesalah terlebih dahulu.
Jasri turut menambah bahawa hukuman rotan bagi pesalah syariah juga pernah dilakukan di ibu negeri Sabah tetapi ia hanya dijalankan di dalam kawasan penjara.
Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan baru-baru ini meluluskan pindaan Enakmen Prosedur Jenayah Syariah 2002 untuk membolehkan pelaksanaan hukuman sebat terbuka sebagai mana di Aceh, Indonesia.
Di mana bagi pesalah yang melakukan kesalahan seperti liwat, zina dan minum arak boleh dijatuhkan hukuman sebat di khalayak ramai.
Oleh : Amy Maizura
 
Copyright © 2014 PenangKini.