BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Imigresen akan siasat dakwaan aktivis Bangladesh, kata KP


Imigresen akan menyiasat dakwaan aktivis hak asasi manusia Bangladesh Adilur Rahman Khan, yang disekat dari memasuki negara ini.

Adilur dilaporkan portal Dhaka The Daily Star sebagai berkata beliau antara lain dipaksa membayar AS$100 (RM429) untuk membeli makanan semasa ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Khamis lepas.

“Saya akan periksa dakwaan itu,” kata Ketua Pengarah Imigresen Datuk Seri Mustafar Ali kepada FMT.

“Tetapi bukan imigresen yang bertanggungjawab menyediakan makanan kepada mereka (tahanan di KLIA). Ada vendor yang dilantik pengusaha lapangan terbang yang sepatutnya menjaga kebajikan mereka.”

Adilur, yang merupakan setiausaha kumpulan hak asasi Odhikar, juga mendakwa tahanan yang tidak mampu membayar AS$100 terpaksa bertahan dengan air sahaja.
“Saya pasti akan siasat dakwaan itu,” kata Mustafar.
Beliau juga mengambil maklum aduan Adilur mengenai bilik tahanan yang mempunyai 60 orang di dalamnya.

“Satu-satunya kemudahan tandas dalam lokap dalam kedaaan kotor dan tidak mencukupi untuk jumlah orang dalam bilik tahanan itu,” katanya, menurut kenyataan yang dikeluarkan Odhikar pada Jumaat.
Mustafar berkata meskipun dakwaan Adilur “dibesar-besarkan”, beliau akui lokasi tahanan yang menunggu untuk dihantar pulang perlu ditambah baik.

Tetapi ia satu-satunya bilik tahanan di KLIA yang disediakan untuk imigresen, katanya.
“Kita akan bincang bagi mendapatkan tempat yang lebih baik untuk mereka.”
Sementara itu, Mustafar menegaskan Adilur tidak “ditahan”. Beliau kesal dengan dakwaan itu kerana hakikatnya nama Adilur dalam senarai larangan masuk (NTL).
“NTL bukan penahanan. Mereka dalam senarai itu dihantar pulang kerana mereka tidak dibenarkan masuk ke negara ini.

“Ia bukan kerana imigresen, tetapi kerana permintaan dan permohonan oleh pelbagai agensi penguatkuasaan undang-undang.
“Dalam kes Adilur, permintaan itu daripada polis,” katanya.
Adilur mendakwa dirinya tidak tahu sebab sebenar disebalik tindakan terhadapnya.
Peguam itu dihantar pulang pada 8.05 malam selepas ditahan disekat di kaunter imigresen sebaik mendarat pada 4.00 pagi hari yang sama.

Beliau datang ke Malaysia untuk menghadiri persidangan “Pemansuhan Hukuman Mati di Malaysia dan Asia Pasifik” di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor di ibu negara pada 21 dan 22 Julai. FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.