BREAKING NEWS

Wednesday, 5 July 2017

Inisiatif INDOMALPHI TMP jamin keselamatan tiga negara - Hishammuddin

Inisiatif INDOMALPHI TMP jamin keselamatan tiga negara - Hishammuddin
HISHAMMUDDIN: Inisiatif INDOMALPHI Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama Indonesia dan Filipina memastikan keselamatan Laut Sulu dari dicerobohi. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Inisiatif INDOMALPHI Trilateral Maritime Patrol (TMP) bersama Indonesia dan Filipina memastikan anggota militan termasuk militan Daish tidak menjadikan Laut Sulu sebagai laluan tikus untuk menceroboh masuk ke tiga negara berkenaan.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, inisiatif yang dilancarkan di Tarakan, Indonesia baru-baru ini bagi menangani aktiviti lanun, penculikan dan rompakan bersenjata di perairan berkenaan.

"Susulan pelaksanaan TMP, kita juga akan melancarkan Trilateral Air Patrol (TAP) melibatkan tiga negara ini yang dijangka dilancarkan di Subang.

"Secara amnya, TAP dilaksanakan sebagai satu lagi inisiatif untuk memperkasakan pengawasan keselamatan dan kesiapsiagaan ruang udara dan maritim di Laut Sulu," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Hishammuddin juga menjelaskan, beliau sentiasa memantau secara dekat perkembangan kegiatan kumpulan militan khususnya Daish di Timur Tengah.

"Ini kerana, situasi yang berlaku di Timur Tengah mampu memberi kesan besar kepada keselamatan negara dan rantau ini.

"Terbaru, pasukan keselamatan Iraq telah kembali menguasai beberapa daerah di Bandar Lama Mosul daripada penaklukan anggota kumpulan militan Daish.

"Malaysia tidak akan sesekali tunduk terhadap ancaman kumpulan Daish serta sentiasa menjalinkan kerjasama dengan negara-negara ASEAN demi memastikan hasrat kumpulan itu untuk bertapak dan menguasai rantau ini gagal," tegasnya.

Justeru, Hishammuddin menjelaskan akan sentiasa berhubung dengan rakan-rakan sejawatan dari negara-negara ASEAN bagi membincangkan strategi dan pendekatan terbaik untuk memerangi kumpulan Daish.

"Pagi semalam, saya telah menghubungi rakan sejawatan saya dari Filipina, Delfin Negrillo Lorenzana, bagi menyatakan kesanggupan Malaysia untuk membantu Filipina dalam apa jua cara dan keadaan yang ketika ini berhadapan dengan ancaman keganasan," katanya.

Dalam pada itu katanya, beliau juga akan berhubung melalui telefon dengan Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Jeneral James Mattis pada Khamis ini bagi membincangkan perkembangan terkini kegiatan kumpulan militan DAESH di Timur Tengah

Jelas Hishammuddin, perbincangan tersebut bakal menjadi platform terbaik bersama James untuk berkongsi pengalaman serta memperhalusi bentuk kerjasama pertahanan antara kedua-dua negara.

"Pada masa sama, saya juga akan mengadakan lawatan kerja ke beberapa negara di Timur Tengah dalam masa terdekat khususnya di Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain.

"Lawatan ini bertujuan bertemu pemimpin-pemimpin tertinggi negara tersebut bagi mendapatkan gambaran sebenar situasi di Timur Tengah.

"Pertemuan ini juga membolehkan kami berkongsi pandangan berhubung pendekatan terbaik bagi menangani ancaman kumpulan Daish," jelasnya.

Katanya lagi, dalam lawatan ke Arab Saudi, pertemuan akan diadakan dengan Putera Mahkota Arab Saudi merangkap Menteri Pertahanan Arab Saudi, Mohammad bin Salman bin Abdulaziz Al Saud bagi membincangkan penubuhan King Salman Centre For International Peace (KSCIP) di Kuala Lumpur.

"Kita juga akan memikirkan pendekatan yang terbaik untuk mengenalpasti inisiatif counter narrative bagi mengekang penyebaran dakyah kumpulan pengganas.

"Sesungguhnya, Malaysia menerusi Angkatan Tentera Malaysia dan kesemua agensi keselamatan negara akan melaksanakan pelbagai lagi inisiatif dan pendekatan dari semasa ke semasa demi memastikan kumpulan militan Daish tidak berupaya menceroboh masuk dan bertapak di negara ini.

"Selaku Menteri Pertahanan dan Menteri Tugas-Tugas Khas, saya sendiri bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan sentiasa berhubung dan berusaha memelihara tahap keselamatan dan pertahanan negara agar sentiasa berada pada tahap kesiapsiagaan tertinggi," katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.