BREAKING NEWS

Sunday, 16 July 2017

Jangan pilih orang bercelaru, kata Najib



Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengingatkan rakyat supaya jangan menggadai masa depan dengan memilih parti yang tidak stabil untuk mengemudi negara.

Sebaliknya, beliau meminta mereka memilih parti yang kukuh untuk mentadbir negara yang mana telah membuktikan pencapaiannya menerusi kejayaan yang dikecapi negara selama ini.
“Jadi, janganlah kita gadai masa depan kita. Janganlah pilih orang yang bercelaru, tidak tahu siapa tauke sebenarnya. Masing-masing ada jawatan, tidak tahu siapa bosnya.
“…kita mesti pilih parti yang kukuh terbukti mampu mentadbir negara,” kata beliau ketika berucap pada Rumah Terbuka Malaysia Aidilfitri 2017 di Stadium Mini, Taman Sri Lambak, Sembrong di sini, malam tadi.
Najib yang juga Pengerusi Barisan Nasional berkata parti yang memerintah telah membawa negara mengecapi keamanan dan keselamatan sehingga menduduki kedudukan ke-29 daripada 163 negara paling aman berdasarkan statistik Institut Ekonomi dan Keamanan bulan lepas.

Malah, Amerika Syarikat juga sekadar berada di kedudukan corot iaitu ke-114 dalam senarai negara paling aman, kata perdana menteri.
Najib turut menzahirkan penghargaan terhadap pasukan Polis DiRaja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia serta pasukan-pasukan keselamatan negara yang telah memberi sumbangan dalam memastikan keselamatan dan keamanan negara dapat dicapai.
Faktor lain yang turut menyumbang kepada pencapaian menakjubkan negara ialah kerajaan mempunyai misi, visi dan perancangan bagi membawa rakyat dan negara mencapai status negara maju pada masa hadapan termasuk menambah baik sistem pengangkutan awam selari dengan pencapaian negara, kata beliau.
“Ini termasuk tren berkelajuan tinggi (HSR) yang menghubungkan Kuala Lumpur dan Singapura melalui Johor serta MRT di Lembah Klang.
“Kita ada kemampuan untuk melaksanakan, kita bukan cakap omong kosong. Tidak! Kita cakap dan kita boleh buat, bukan macam pembangkang, dia boleh janji macam-macam tetapi habuk pun tidak dapat.
“Kita boleh buat dan Insya-Allah, kita boleh buat banyak lagi,” kata perdana menteri.

 
Copyright © 2014 PenangKini.