BREAKING NEWS

Sunday, 9 July 2017

Kad pemastautin tular di media sosial bukan kad tulen

 Kad berwarna hijau, yang didakwa Kad Pengenalan Pemastautin Sementara (MyKAS) yang tular di media sosial, didapati tidak menepati ciri-ciri fizikal MyKAS yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohd Yazid Ramli berkata penelitian terhadap paparan MyKAS yang ditularkan di laman sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab merupakan tangkap layar contoh MyKAS daripada laman web JPN pada 2012.

“Paparan contoh MyKAS telah pun dipadamkan oleh JPN susulan dakwaan sama pernah timbul pada tahun tersebut, dan contoh MyKAS tersebut dipercayai telah disunting oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan niat memburukkan JPN,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas isu “Benarkah pemegang Kad Pengenalan Sementara layak mengundi” yang tular di media sosial.

Mohd Yazid menjelaskan ciri-ciri fizikal MyKAS yang tulen berwarna hijau sepenuhnya dengan catatan Pemastautin Sementara, status kewarganegaraan tercatat dengan jelas “BUKAN WARGANEGARA”, gambar pemegang kad dipaparkan di ruang kanan kad serta kad memaparkan tarikh luput pada bahagian tengah di muka hadapan.

MyKAS hanya dikeluarkan kepada individu bertaraf Bukan Warganegara yang memenuhi kelayakan yang ditetapkan mengikut Peraturan 5(3) (c) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 iaitu seseorang yang memasuki Malaysia secara sah melalui pas imigresen atau permit sah dan dibenarkan menetap di Malaysia bagi tempoh 12 bulan dan ke atas, atau seseorang yang dilahirkan di Malaysia tetapi taraf kewarganegaraannya tidak dapat ditentukan.

Mengenai dakwaan 3 individu bukan bertaraf warganegara Malaysia yang dikatakan layak mengundi walaupun hanya memiliki MyKAS, Mohd Yazid menjelaskan dakwaan itu tidak benar kerana semakan rekod JPN mendapati bahawa ketiga-tiga nama yang dipaparkan pada MyKAS tersebut dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia di antara 2004 dan 2007.
“Sehubungan itu, mereka layak mengundi pada pilihan raya yang dijalankan selepas mereka dianugerahkan taraf kewarganegaraan Malaysia,” katanya.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai agar tidak mudah terpengaruh dengan dakwaan tidak benar terutamanya paparan melalui media sosial yang ternyata berniat tidak baik terhadap JPN serta bertujuan mengelirukan orang ramai.
 
Copyright © 2014 PenangKini.