BREAKING NEWS

Tuesday, 18 July 2017

Kalau Benda Kecil Pun Dr. Maszlee Boleh Berbohong


Saya bukan mahu membela portal berita Menara, tetapi saya sekadar mahu berkongsi fakta yang saya ketahui sahaja kepada rakan-rakan Facebook saya.
Faktanya ialah, pada 11 Julai lalu portal berita Menara telah menyiarkan satu laporan bertajuk “Kalau Nabi Hidup Lagi, Mereka Akan Letak Jawatan-Maszlee Malik”.
Laporan tersebut memuatkan ucapan Dr Maszlee Malik yang didakwa dibuat “pada satu majlis yang diadakan di sebuah gereja Methodist di ibu negara”.
Faktanya juga ialah, rakaman ucapan Dr Maszlee Malik yang saya dengari sendiri berulang kali turut mengakui bahawa majlis itu memang diadakan di sebuah gereja Methodist.
Rakaman ucapan Dr Maszlee Malik yang saya dengari sendiri di dalam majlis ini adalah berbunyi “I did not realise that this program today is going to be held in a Methodist Church”.
Jelas di sini bahawa Dr Maszlee Malik mengakui majlis itu memang diadakan di dalam (in) sebuah gereja Methodist, cuma beliau beliau berkata beliau tidak sedar mengenainya.
Pengakuan Dr Maszlee Malik ini telah saya sebut di dalam komentar Facebook saya bertajuk “Laporan Menara Tepat: Dr Maszlee Memang Memperkecilkan Nabi-Nabi” pada 12 Julai.
Alih-alih, hari ini, komentar Facebook Dr Maszlee Malik bertajuk “Fitnah Di Tahap Maksima” menafikan pula bahawa majlis itu diadakan di sebuah gereja Methodist.
Kata beliau: “Saya telah dijemput untuk sebuah forum di dewan di bangunan Wesley, di sebelah gereja Methodist Wesley (bukan di dalam gereja seperti yang disebutkan oleh pemfitnah) pada 8 Julai 2017.”
Saya cukup tidak faham apa perlunya untuk Dr Maszlee Malik menimbulkan isu mengenai lokasi di mana forum ini diadakan kerana ia sebenarnya bukanlah satu isu penting.
Apatah lagi bila kenyataan beliau hari ini bercanggah dengan pengakuan beliau sendiri sebelum ini bahawa majlis itu memang diadakan di sebuah gereja Methodist.
Kalau dalam perkara yang sebegini kecil, tetapi cukup jelas dan terang sekalipun, Dr Maszlee Malik boleh berbohong tidak tahulah saya bagaimana dengan perkara besar lain.
Entah bagaimanalah agaknya tanggapan umum terhadap pendakwah Islam yang lain bila seorang pendakwah Islam seperti Dr Maszlee Malik boleh terang-terang berbohong.

 
Copyright © 2014 PenangKini.