BREAKING NEWS

Tuesday, 25 July 2017

Kenaikan Tarif Air: Lim Guan Eng Dicabar Dedah Surat PBA Kepada SPAN


Saya amat tersinggung daripada kenyataan Lim Guan Eng semalam yang menuduh saya memberikan tanda bahawa Kerajaan Pusat mahu Pulau Pinang meningkatkan kadar airnya supaya selaras dengan negeri-negeri lain.

Ini merupakan fitnah semata-mata daripada Ketua Menteri terhadap saya.

Saya sekarang mencabar beliau supaya memberi kebenaran untuk mendedahkan surat permohonan daripada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA) kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) yang bertarikh 23 Disember 2016 yang memperincikan bahawa Kerajaan Pulau Pinang telah meluluskan permintaan kenaikan tarif air Pulau Pinang.

Surat ini akan membuktikan pihak mana yang sebenarnya ingin melaksanakan kenaikan harga air secara luas dan besar meliputi semua dengan secara berasingan daripada surcaj pemuliharaan air ke atas pengguna domestik dan perniagaan di Pulau Pinang.

Anda juga akan ketahui adakah benar bahawa kenaikan yang terancang ini bertujuan untuk mengumpulkan lebih daripada RM150 juta setahun daripada rakyat Pulau Pinang dan perniagaan untuk menyelamatkan PBA dari mengalami kerugian akibat daripada lonjakan besar dalam perbelanjaan.

Jangan memfitnah atau cuba menyalahkan saya apabila pihak Yang Amat Berhormat (Lim) merupakan pihak yang bersalah.

Saya juga mengingatkan Ketua Menteri bahawa lama sebelum DAP berkuasa, Pulau Pinang sudah mempunyai kadar air yang paling rendah dan kadar air-tidak-terhasil yang paling rendah di negara ini.

Ini merupakan kredit besar kepada kerajaan BN Pulau Pinang sebelum ini kerana kadar air domestik di Pulau Pinang masih merupakan paling rendah di negara ini, walaupun Kerajaan Pulau Pinang DAP sekarang telah menaikkan kadar air sebanyak 4 kali sejak tahun 2010.

Liang Teck Meng merupakan Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan).
 
Copyright © 2014 PenangKini.