BREAKING NEWS

Saturday, 1 July 2017

Kenaikan Tarif Elektrik : TNB Untung Tapi Rakyat Marah Kerajaan BN

KUALA LUMPUR, 30 Jun – Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan Pemuda UMNO Malaysia (HELP) menggesa kerajaan agar menolak cadangan kenaikan tariff elektrik yang dikemukakan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta meminta kerajaan mencari jalan atau kaedah terbaik kepada rakyat negara ini agar dapat menikmati kemudahan elektrik ini dengan kadar yang lebih efisyen.
Pengerusinya, Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, ura-ura kenaikan kadar tarif elektrik yang dicadangkan oleh TNB tersebut telah menyebabkan timbulnya kegelisahan di kalangan rakyat yang kini terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat, khususnya di kalangan penduduk bandar.
“Walaupun apa juga alasan yang diberikan TNB itu, sebarang kenaikan akan menjejaskan pengguna yang semakin terbeban dengan kos sara hidup yang semakin meningkat.
“Biarpun TNB memberi alasan kenaikan kadar itu disebabkan semakan semula tarif elektrik kepada pengguna di Semenanjung, Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan namun cadangan ini pastinya akan menimbulkan kemarahan rakyat dan merasakan diri mereka terus ditekan oleh kerajaan”, tegasnya dalam satu kenyataan di sini.
Apa yang pasti jelas beliau kesan kemarahan rakyat itu sudah tentu tidak dihalakan kepada TNB yang memperolehi keuntungan bersih berbilion setahun, tetapi kemarahan itu pasti akan dihalakan kepada kerajaan Barisan Nasional (BN).
” TNB tidak pernah belajar daripada pengalaman apabila berlaku kesan rantaian (chain effect) daripada kenaikan tarif itu menyebabkab kos perbelanjaan  isi rumah turut meningkat dan pastinya kenaikan tarif elektrik itu juga menyebabkan hati rakyat semakin terluka.
“…dan kita bimbang kelukaan itu mereka tunjukkan pada PRU akan datang,” ujarnya.
Tambah Nazir lagi, dalam situasi semasa hari ini, TNB seharusnya menjadi penggerak kepada agenda kerajaan dalam usaha memberi kesejahteraan kepada rakyat, dan bukannya menambah bebanan rakyat yang sedia ada.
“Apabila kita melihat kepada laporan bagi tempoh Sembilan bulan tahun kewangan 2016 TNB, perbelanjaan operasi telah meningkat sebanyak 4.2 peratus kepada RM26.8 bilion daripada RM25.7 bilion untuk tempoh sama tahun sebelumnya manakala perolehan sebelum faedah dan cukai (EBIT) pula mencatatkan RM6.99 bilion berbanding RM6.41 bilion.
“Malah, TNB mencatat keuntungan selepas cukai sebanyak RM5.58 bilion bagi tempoh sembilan bulan tahun kewangan 2016 meningkat 6.3 peratus berbanding RM5.25 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
“Berdasarkan perkara itu, dalam keadaan ekonomi negara yang menerima kesan daripada suasana ekonomi dunia hari ini, maka  TNB seharusnya menjadi penggerak utama dalam menjayakan agenda kerajaan dalam usaha untuk terus memberi kesejahteraan kepada rakyat di negara ini,” ujarnya.-MediaUMNO
 
Copyright © 2014 PenangKini.