BREAKING NEWS

Saturday, 1 July 2017

KENYATAAN MEDIA JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK


KENYATAAN MEDIA

JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK ingin menjelaskan tentang isu pengusaha India yang tidak berjaya dalam pembidaan sebutharga untuk mendapatkan satu ruang gerai dalam Kontrak Menyewa dan Mengurus Kantin Politeknik Seberang Perai seperti yang ditularkan di media sosial baru-baru ini.

Mesyuarat Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga, PSP telah meneliti dan mendapati bahawa permohonan pengusaha makanan India iaitu Encik Gobi Krishnan a/l Gopal dari GA Multi Trading tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria yang terdapat dalam spesifikasi sebut harga. Syarat sebut harga tersebut termasuk kod bidang 040103 Membekal Makanan Bermasak (Islam) dan berdaftar dengan Kementerian Kewangan.

Dua pengusaha kantin Melayu yang telah beroperasi di PSP selama hampir 10 tahun juga tidak berjaya kerana tidak memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan. Seorang lagi pengusaha menarik diri kerana tidak berdaftar dengan Kementerian Kewangan. Secara jelasnya, tiada unsur pilih kasih atau diskriminasi perkauman seperti yang didakwa.

Pemilihan dilakukan secara telus dan bertanggungjawab oleh Jawatankuasa Penilaian Sebut Harga. Jawatankuasa tersebut tidak dimaklumkan nama syarikat dan siapa yang mengambil bahagian dan pemilihan hanya berdasarkan nombor kod penender sahaja. Pengarah Politeknik Seberang Perai bertanggungjawab sepenuhnya dalam semua perkara berkaitan warga Politeknik Seberang Perai seramai hampir 5000 orang pelajar dan staf termasuk 865 orang pelajar India. Setiap perkara akan diteliti dengan waspada terhadap anasir yang cuba memporakperandakan masyarakat melalui isu ini.

Pihak Politeknik Seberang Perai sentiasa bersikap terbuka untuk berbincang dalam apa juga perkara tanpa melibatkan pihak ketiga yang mungkin tidak memahami dan mengetahui isu ini serta tidak mendapatkan maklumat sahih terlebih dahulu.

Dikeluarkan oleh:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
JABATAN PENDIDIKAN POLITEKNIK
30 Jun 2017
 
Copyright © 2014 PenangKini.