BREAKING NEWS

Friday, 14 July 2017

Penambakan Laut di Pulau Pinang : Agensi di Bawah NRE diarah Siasat Dakwaan Persatuan Nelayan



Wakil Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang menyerahkan memorandum bagi membantah aktiviti penambakan di sekitar perairan Negeri Pulau Pinang.


Kementerian Sumber Asli Dan Alam Sekitar hari ini mengarahkan agensi dibawahnya untuk menyiasat dan mengemukakan laporan mengenai projek penambakan laut di Pulau Pinang. 
Menterinya, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi berkata arahan itu dikeluarkan selepas menerima rombongan daripada wakil Persatuan Nelayan Negeri Pulau Pinang (Pen Mutiara) di pejabat pada 6 Julai lepas. 
Persatuan terbabit telah menyampaikan bantahan mereka terhadap Projek SRC Consortium yang didakwa semakin giat menjalankan kegiatan penambakan laut di sekitar perairan Negeri Pulau Pinang bagi perlaksanaan projek Penang Transportation Master Plan.
Menurut Persatuan itu, aktiviti penambakan ini akan memberi kesan kepada 50,000 ahli keluarga dan para nelayan itu sendiri yang selama ini sangat bergantung hidup dengan hasil tangkapan laut kerana kawasan terbabit dikatakan penting kerana ianya  merupakan kawasan pembiakan spesis udang serta beberapa jenis ikan seperti senangin, kembung dan lain-lain lagi.
Selain daripada merosakkan ekosistem hidupan laut yang sedia ada, aktiviti penambakan itu turut mengubah kualiti air dan menyebabkan berlakunya kesesakan di luar kawasan tambakan kerana ia merupakan kawasan selat yang sempit bagi menampung kapisiti bilangan bot yang kian bertambah katanya di dalam satu kenyataan hari ini. 
Sehubungan dengan itu kementerian telah mengarahkan Jabatan-jabatan di bawah Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar (NRE) seperti Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Penyelidikan Hidraulik Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) serta Jabatan Taman Laut Malaysia (JTLM) untuk menjalankan kajian terperinci dan melaporkan dapatan hasil dari kajian itu dengan kadar segera bagi mengatasi dan menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk di kawasan berkenaan ujarnya.
Selain dari itu beliau turut meminta agar Kerajaan Negeri untuk bekerjasama dengan NRE yang mewakili Kerajaan Persekutuan dalam menangani isu yang dihadapi ini demi untuk kebaikan bersama dan sepatutnya tidak memulakan sebarang kerja-kerja projek sebelum mendapat ‘greenlight’ daripada NRE atau agensi-agensi di bawahnya. 



 
Copyright © 2014 PenangKini.