BREAKING NEWS

Saturday, 15 July 2017

Kerajaan Pulau Pinang Tidak Serius Banteras Rasuah

GEORGE TOWN, 15 Julai – Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) mempersoal keengganan kerajaan Pulau Pinang menandatangani Ikrar Bebas Rasuah (IBR).
ADUN Pulau Betong Datuk Muhammad Farid Saad berkata walaupun menandatangani IBR tidak wajib dari segi Undang-Undang, namun keengganan kerajaan negeri pimpinan Lim Guan Eng memberi gambaran mereka tidak serius atau bersungguh membanteras gejala rasuah.
“Saya rasa sungguh pelik sebuah kerajaan negeri yang sering menjaja amalan urus tadbir Cekap, Akauntabiliti dan Telus, serta ingin membanteras gejala rasuah habis-habisan, tidak mahu atau enggan menandatangani IBR.
“Apakah yang ditakutkan atau digeruni kerajaan Pulau Pinang untuk menandatangani ikrar berkenaan?” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Isnin lepas, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Dzulkifli Ahmad dilaporkan berkata tiga kerajaan negeri masih belum menandatangani IBR yang diperkenalkan SPRM sejak Gerakan Revolusi Anti Rasuah (Gerah) dilancarkan Mei lepas.
Dzulkifli berkata tiga negeri itu melibatkan Pulau Pinang, Selangor dan Kelantan, meskipun banyak kementerian dan agensi kerajaan berlumba-lumba menyatakan ikrar masing-masing.
Muhammad Farid turut mempersoal adakah keengganan kerajaan negeri menandatangani IBR itu ada kena mengena dengan pertuduhan rasuah terhadap Lim yang sedang menanti perbicaraan di mahkamah.
“Rakyat Malaysia tidak seharusnya tertipu dengan janji yang disenaraikan Pakatan Harapan, yang antaranya ialah membenteras rasuah hingga ke akar umbi.
“Tetapi kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP, antara parti gabungan Pakatan Harapan itu sendiri enggan menandatangani IBR SPRM,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.