BREAKING NEWS

Sunday, 16 July 2017

Kertas siasatan pembantu adun DAP cabul pelajar hampir siap


 Kertas siasatan kes seorang pegawai khas adun DAP di Pulau Pinang yang didakwa mencabul seorang pelayan di sebuah pusat hiburan hampir siap dan akan diserahkan kepada pejabat timbalan pendakwa raya Isnin ini, kata Ketua Polis Daerah Timur Laut, ACP Anuar Omar.

“Polis mengambil beberapa tindakan dalam siasatan itu…beberapa barang yang dipercayai dapat membantu siasatan kes berkenaan telah diperoleh, antaranya baju serta seluar yang dipakai mangsa semasa insiden itu,” katanya dipetik Bernama hari ini.

Seorang pelajar kolej swasta di negeri itu yang berusia 21 tahun mendakwa dicabul pembantu khas seorang adun di kawasan tempat letak kereta di luar sebuah pusat hiburan di Lebuh Pantai, pada 6 Julai lalu.

Susulan itu, polis mengambil keterangan gadis itu yang bekerja sambilan sebagai pelayan di pusat hiburan terbabit dan menahan lelaki berusia 40-an terbabit pada Khamis lepas bagi membantu siasatan.

Anuar berkata, hasil proses kawad cam ke atas suspek oleh mangsa juga positif dan keterangan saksi kejadian, termasuk ahli keluarga mangsa turut diambil untuk membantu siasatan kes itu.

“Kami turut mendapatkan rakaman kamera litar tertutup yang terdapat di kawasan kejadian untuk dianalisis dan berdasarkan rakaman memang terdapat pergerakan suspek bersama mangsa di situ.”
Beliau berkata, lelaki yang juga bekas ahli Majlis Perbandaran Pulau Pinang itu dibebaskan dengan jaminan polis, selepas mahkamah menolak permohonan melanjutkan tahanan reman ke atas suspek hari ini.

Tahanan reman ke atas suspek selama 2 hari berakhir hari ini.

 
Copyright © 2014 PenangKini.