BREAKING NEWS

Friday, 28 July 2017

Kesatuan peguam syarie mohon celah jika JPN rayu keputusan “bin Abdullah”

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan memohon sebagai pencelah sekiranya Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan, selepas Mahkamah Rayuan memutuskan anak luar nikah boleh menggunakan nama bapa sebenar dalam dokumen rasmi kerajaan.
Presiden PGSM Musa Awang berkata keputusan Mahkamah Rayuan itu akan mencetuskan ketaktentuan nasab (keturunan bapa) dan kecelaruan dalam perkara keluarga Islam: wali nikah dan waris harta.
Musa menjelaskan pernikahan anak perempuan hanya boleh diwalikan oleh bapa yang sah dari segi syarak, jika tidak, kemungkinan besar perkahwinan itu tidak sah.
“Itu baru peringkat anak perempuan mahu bernikah, belum lagi ke peringkat cucu,” katanya pada sidang media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini.
peguam-syarie-2

Menurut Musa, keputusan itu juga boleh menyebabkan kecelaruan dalam isu pembahagian harga dalam Islam, kerana bapa kandung anak luar nikah itu tidak boleh mewarisi harta bapa tiri anak tersebut.
“Jika diletakkan bin atau binti (bapa sebenar) dalam surat beranak, orang yang tidak tahu mungkin akan tinggalkan harta. Bila bapa kandung anak itu terima harta bapa tiri, maka ia berdosa dan ambil hak waris lain,” katanya.
Musa berkata PSGM mahu mengelakkan kucar-kacir daripada berlaku.
Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis 2 bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.
Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.
“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” tulisnya.
Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang 3 hari sebelum tempoh 6 bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.
JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.
Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.
Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.
 
Copyright © 2014 PenangKini.