BREAKING NEWS

Friday, 7 July 2017

Khairy Optimis Skuad Polo Ke Final

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin Abu Bakar melaungkan keyakinan terhadap kemampuan skuad polo kebangsaan untuk menepati sasaran layak ke final pada temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 (KL2017) bulan depan.

Khairy yang akan turut beraksi buat pasukan negara dalam acara berkenaan berkata, persiapan pasukannya kini berada di landasan yang tepat bagi mencapai sasaran ke final sekali gus berpeluang meraih pingat emas.

Katanya, beliau akan mengikuti sesi latihan bersama pasukannya yang sedang giat membuat persiapan di Pekan, Pahang sejurus Kejohanan Polo Terbuka Malaysia yang sedang berlangsung, berakhir pada Ahad depan.

"Saya yakin pasukan negara akan menepati sasaran masuk ke final dan akan berjuang untuk mendapatkan pingat emas buat negara.

"Sebahagian besar pemain sudah berada di sana (Pekan) untuk menjalani latihan pusat dan selepas berakhirnya kejohanan ini, saya akan meluangkan masa di sana (Pekan)," katanya kepada pemberita selepas tamat perlawanan antara pasukannya, Jogo Polo menentang La Familia di Kelab Polo Diraja Selangor, hari ini.

Pada perlawanan itu, Khairy mempamerkan aksi mantap bagi membantu pasukannya mencatat kemenangan 5-3. Jogo Polo turut menewaskan pasukan Putra Polo Club 8-6 pada aksi pembukaan Selasa lalu.

Mengulas mengenai perlawanan itu, Khairy menyifatkan semangat berpasukan adalah antara kunci utama kejayaan dan berharap ia dapat dikekalkan pada perlawanan ketiga Selasa depan apabila turun menentang Ranhill Putrajaya.

"Perlawanan hari ini sangat sengit tetapi kita sudah buktikan bahawa kemenangan ini hadir daripada permainan berpasukan.

Jadi selepas ini kita akan menentang Ranhill Putrajaya dan sekiranya keputusan memihak kepada kita, kita akan ke final," katanya. - BERNAMA
 
Copyright © 2014 PenangKini.