BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Komponen BN dicabar bukti kemampuan

Kepe­mimpinan parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) khususnya MCA, MIC serta Gerakan dicabar membuktikan kemampuan mereka mewakili kaum masing-ma­sing dengan memenangi kawasan majoriti bukan Melayu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) nanti.

Cabaran itu dilontarkan oleh Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi kerana berpendapat komponen BN sebelum ini ba­nyak bergantung kepada kawasan majoriti Melayu untuk bertanding dan mencapai kemenangan.


Timbalan Pengerusi BN itu berkata, banyak kerusi Melayu yang dikorbankan oleh UMNO pada pilihan raya umum sebelum ini atas dasar kebersamaan de­ngan memberinya kepada rakan-rakan komponen tetapi sudah tiba masanya parti-parti itu membuktikan kemampuan masing-masing pada PRU-14 nanti.

“Mereka tidak akan menang di kawasan yang bukan Melayu. Ini hakikat, lihat sama ada di Bentong atau Segamat atau Teluk Intan, ini merupakan kerusi Parlimen yang dimenangi oleh Presiden-Presi­den parti komponen BN.


“Saya tahu mungkin kenyata­an ini agak kontroversi tetapi saya bercakap realiti kerana kita mahu rakan-rakan dalam BN terus kuat, terus turun ke bawah, terus berikan perkhidmatan kepada semua rak­yat. Itu merupakan konsep perkongsian kuasa yang harus di­terjemahkan oleh mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Bintang di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Yang turut hadir Setiausaha Agung UMNO, DatuK Seri Tengku Adnan Tengku Mansor; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Ahmad Maslan; Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Zainal Abidin Mohd. Rafique.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri memberitahu, UMNO terlalu baik kepada rakan-rakan komponennya walaupun beliau percaya ada sedikit rasa terguris dalam kalangan kepemimpinan serta ahli parti tetapi keikhlasan kepada rakan tidak berbalas.

“Saya serius dalam perkara ini kerana harus keluar daripada kepompong pemikiran selama ini. Berapa kawasan terpaksa kita korbankan apabila kerusi-kerusi yang diberikan kepada komponen kalah sedangkan kawasan ditandingi majoriti Melayu,” jelas beliau.

Ketika merasmikan Persida­ngan Perwakilan UMNO Bahagian Setiawangsa pula, Ahmad Zahid menegaskan bahawa calon yang dipilih oleh Presiden parti, Datuk Seri Najib Tun Razak bukanlah atas dasar pilih kasih atau kronisme tetapi kajian telah dilakukan secara bebas.

“Kami tentukan bukan berdasarkan cita rasa kami tetapi pengundi kerana mereka lebih tahu personaliti yang dimahukan dan boleh mewakili mereka. Calon bukan hanya boleh menang tetapi paling disukai ramai,” jelas beliau.
 
Copyright © 2014 PenangKini.