BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Langkawi atau Kubang Pasu, kami tak gentar, kata MB Kedah

Umno Kedah yakin akan berlaku “tsunami Cina” yang memihak kepada Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak berikutan pengundi Cina hilang keyakinan terhadap DAP kerana bekerjasama dengan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata keyakinan pengundi Cina kepada DAP juga merosot selepas menyaksikan suasana di Pulau Pinang yang diteraju parti itu.

Umno Kedah juga yakin akan berlaku “tsunami Melayu” pada PRU nanti kerana keyakinan mereka terhadap BN semakin meningkat, katanya kepada pemberita selepas menutup Persidangan Agung Perwakilan Tahunan kali ke-5 Pertubuhan Bekas Ahli 4B Malaysia (Alumni 4B) di sini, hari ini.
Turut hadir Presiden Alumni Belia 4B Malaysia Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.

Mengulas isu berkaitan, Ahmad Bashah yang juga menteri besar Kedah, berkata BN negeri tidak gentar sekiranya Dr Mahathir mahu bertanding di negeri itu termasuk di Langkawi.
“Langkawi atau Kubang Pasu atau tidak kira di mana dia (Dr Mahathir) bertanding, kami tidak gentar malah mengalu-alukannya. Tetapi dia perlu ingat, BN di Langkawi tidak akan tergugat kerana rakyat di sana akan buat keputusan yang terbaik untuk Langkawi sendiri,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.