BREAKING NEWS

Friday, 28 July 2017

Lebih 5,000 PATI, majikan ditahan sejak 1 Julai

 Seramai 5,173 pesalah ditahan imigresen hingga semalam dalam Op Mega yang dijalankan bagi memburu majikan dan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang ingkar untuk berdaftar dalam program E-kad.
Ketua Pengarahnya Datuk Seri Mustafar Ali berkata mulai 1 Julai hingga 7.00 pagi semalam, imigresen mengadakan 1,272 operasi penguatkuasaan di seluruh negara.
“Seramai 17,955 orang diperiksa dan hasilnya seramai 5,065 PATI daripada pelbagai warganegara ditahan atas berbagai kesalahan imigresen.
“Selain itu 108 majikan turut ditahan dan 367 orang diberi notis untuk hadir memberi keterangan sepanjang tempoh ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Daripada jumlah keseluruhan PATI yang ditahan, warga Bangladesh mencatatkan tangkapan tertinggi iaitu 1,520 orang, diikuti Indonesia (1,476), Myanmar (429), Vietnam (285), Thailand (206), Filipina (261) dan bakinya dari negara lain, katanya.

Mustafar berkata imigresen mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perjumpaan dan perbincangan dengan beberapa kedutaan antaranya Bangladesh, India, Indonesia dan Nepal.
“Inisiatif ini dilaksana bagi memperjelaskan usaha yang dilakukan, serta langkah-langkah yang perlu diambil oleh majikan dan pekerja selepas tamat tempoh pendaftaran E-kad.
“Ini juga termasuk urusan pengeluaran dokumen perjalanan oleh pihak kedutaan berkenaan dan untuk menyelesaikan proses penggajian semula,” katanya.
Bagi majikan yang gagal mendaftarkan pekerja asing mereka, imigresen menggesa agar mereka dihantar pulang melalui Program Serah Diri secara Sukarela (Program 3 + 1) bagi mengelakkan risiko dikenakan tindakan undang-undang termasuk pendakwaan, katanya.
Melalui program itu, PATI dapat pulang ke negara asal melalui cara yang teratur dan mengikut undang-undang.
Beliau memaklumkan bagi tempoh 4 Jan hingga 25 Julai tahun ini seramai 125,061 PATI pulang ke negara asal melalui Program 3 + 1 itu.
Katanya, operasi penguatkuasaan imigresen akan dijalankan secara berterusan tanpa henti dalam memutuskan rantaian kesalahan, termasuk melaksanakannya bersama agensi penguat kuasa undang-undang yang lain.
 
Copyright © 2014 PenangKini.