BREAKING NEWS

Wednesday, 19 July 2017

Malaysia bukan Negara Gagal Tegas Najib Razak

FW595292_PTJ39_180717_PM_KIP-scr.jpg

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sekali lagi menegaskan bahawa Malaysia bukanlah sebuah negara gagal sama ada dalam aspek pembangunan Islam atau kemudahan infrastruktur untuk rakyat.
Beliau berkata pembangunan Islam tidak dicerap melalui ceramah semata-mata, sebaliknya diterjemah dalam segenap aspek kehidupan seperti penyediaan infrastruktur pentadbiran Islam yang secara tidak langsung menjadi sebahagian daripada mesej dakwah kepada masyarakat.
Dengan menjadikan Kompleks Islam Putrajaya (KIP) sebagai contoh, perdana menteri berkata perasmian kompleks itu yang menyatukan 11 agensi agama di bawah satu bumbung membuktikan kerajaan sentiasa berusaha meletakkan Islam di tempat tertinggi dengan penyediaan infrastruktur terbaik untuk merealisasikan pembangunan negara berteraskan Islam yang syumul.
"Dalam masa dua hari ini, ada sebab untuk kita merasa bangga. Semalam saya lancarkan fasa kedua Transit Aliran Massa (MRT) Laluan Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan hari ini merasmikan KIP, ikon baharu dalam penyediaan tadbir urus yang terbaik untuk kegemilangan pentadbiran Islam.
"Apakah ini gambaran negara gagal. Apakah ini gambaran pentadbiran yang muflis. Adakah ini membawa kepada Malaysia yang hancur yang perlu diselamatkan," katanya ketika berucap merasmikan KIP semalam. 
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata pelancaran MRT, yang disifatkan sebagai 'sistem infra rakyat berteras dunia', dan bangunan baharu KIP berkeluasan lebih 1 juta kaki persegi merupakan contoh terbaik kehebatan pentadbiran negara yang patut dibanggakan.
Dalam pada itu, perdana menteri berkata pemusatan agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri di dalam satu kompleks adalah selaras dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat sekaligus menjadi contoh kepada negara lain dalam meletakkan urusan agama Islam di kedudukan sepatutnya serta menolak persepsi terkini Islam yang sering dikaitkan dengan keganasan, kehampaan, konflik dan pembunuhan beramai-ramai.
Beliau berkata tanggapan negatif itu boleh terhakis apabila KIP menjadi satu-satunya bangunan untuk pentadbiran Islam yang diiktiraf dengan Anugerah Hartanah Asia-Pasifik 2017 bagi kategori Pembinaan Pejabat Terbaik di Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Kompleks Islam Putrajaya yang terletak bersebelahan dengan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin
"Secara anologinya, KIP sebagai pusat pentadbiran agensi agama tidak boleh sekadar gah dari aspek fizikal tetapi lebih utama perlu menjadi sebuah kompleks pentadbiran yang unggul dan sempurna dari segenap aspek seperti tadbir urus, pembangunan insan dan prasarana,? kata beliau.
Pada majlis itu, Najib turut melancarkan Garis Panduan Umum Tadbir Urus Berteraskan Syariah (GTU-s), sebagai satu usaha pemangkin penambahbaikan tadbir urus Islam selepas pengenalan Indeks Syariah Malaysia dua tahun lepas.
Beliau berkata garis panduan bersifat umum itu, yang berperanan sebagai rujukan kepada agensi-agensi berkaitan agama yang pelbagai tanpa mengetepikan undang-undang dan peraturan sedia ada di agensi masing-masing, perlu diadakan bagi memastikan sistem tadbir urus agensi yang pelbagai dapat diselia dengan baik dan berkesan.
Garis panduan itu unik dan mempunyai nilai tersendiri kerana menggabungkan nilai-nilai islamik yang universal dan diadunkan dengan nilai-nilai tadbir urus moden yang dipopularkan oleh Barat.
"Pelancaran garis panduan ini adalah bukti kerajaan amat serius memastikan institusi agama diurus tadbir dengan baik dan berkesan demi manfaat dan kesejahteraan rakyat keseluruhan," kata beliau.
Perdana Menteri turut melancarkan Pusat Kewangan Islam Setempat (IFiC), yang merupakan inisiatif Lembaga Tabung Haji (TH) bertempat di KIP, yang bakal memberikan kemudahan perkhidmatan seperti pengurusan kewangan dan pembiayaan Islam, tukaran wang, perlindungan insuran, perkhidmatan pelancongan dan pakej haji dan umrah kepada penduduk setempat.
Majlis itu turut dihadiri Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, Pengerusi TH Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim dan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Tan Sri Othman Mustapha.
 
Copyright © 2014 PenangKini.