BREAKING NEWS

Friday, 14 July 2017

MYKID Kini Boleh dituntut Dalam Jangka Masa 24 Jam

Urusan pengeluaran MyKid akan disiapkan dalam tempoh sehari di 17 Pusat Transformasi Bandar (UTC) di seluruh negara mulai Ogos ini. 
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Jabatan Pendaftaran Negara, Datuk Mohd Zahari Hassan, berkata ketika ini pihaknya sedang melengkapkan 17 UTC di seluruh negara dengan mesin percetakan MyKid. 
Beliau berkata, ia sekali gus akan memendekkan masa pengeluaran dokumen pengenalan diri kanak-kanak itu yang sebelum ini mengambil masa 30 hari. 
"Bagaimanapun, di UTC Terengganu proses pengeluaran MyKid yang siap dalam tempoh 24 jam ini akan bermula pada 19 Julai ini. 
"Kita menjangka semua 16 UTC lagi di seluruh negara akan dilengkapkan dengan mesin percetakan MyKid ini selewat-lewatnya akhir bulan ini," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hab Percetakan Teragih Hab DPP semalam. 
Selain MyKid, Mohd Zahari berkata, sistem pengeluaran MyKad turut ditambah baik menerusi penyediaan mesin pencetak MyKad yang bernilai RM300,000 setiap seunit. 
"Kita menyediakan dua unit mesin ini di 36 dari 55 pejabat JPN di seluruh negara yang dijadikan Hab Percetakan Teragih MyKad (DPP). 
Dengan sistem ini, tempoh siap MyKad dapat dipendekkan kepada 24 jam sahaja berbanding antara lima hingga 30 hari bekerja sebelum ini. 
"Di Terengganu, hab untuk Kuala Terengganu, Hulu Terengganu dan Marang adalah di UTC; Besut menjadi subhab untuk Besut dan Setiu manakala Dungun untuk kawasan Dungun, Kertih dan Kemaman," katanya. 
Dalam perkembangan lain, beliau berkata, JPN sedang mengkaji untuk memendekkan tempoh sah laku dokumen pengenalan diri sementara kepada sebulan berbanding tiga bulan ketika ini, bagi mengatasi masalah kelewatan tuntutan MyKad sehingga ada yang tidak dituntut selama dua tahun. 
Sebelum ini media melaporkan sebanyak 159,000 MyKad masih belum dituntut di pejabat JPN di seluruh negara kerana sikap pemohon yang sambil lewa serta tidak mengambil berat berkaitan dokumen pengenalan diri masing-masing.
 
Copyright © 2014 PenangKini.