BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Najib umum 6 insentif, lupus hutang peneroka beli saham FGV

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari ini mengumumkan 6 insentif untuk peneroka dan warga Felda antaranya dalam bentuk pelupusan hutang, bayaran insentif, kewujudan dana khas dan geran khas serta insentif perumahan.

Berkongsi berita gembira tersebut dengan lebih 50,000 hadirin termasuk golongan peneroka yang tidak berganjak dalam keadaan hujan lebat di Dataran Putrajaya di sini, Najib mengumumkan bayaran insentif khas untuk kebajikan warga Felda sebanyak RM5,000 kepada 94,956 keluarga peneroka yang layak penuh.

“Dengan jumlah peruntukan RM474.78 juta, pembayaran akan mula dibuat pada penghujung bulan Ogos ini,” katanya dan disambut tepukan gemuruh hadirin pada sambutan Hari Peneroka Felda peringkat Kebangsaan 2017.

Selari dengan usaha ke arah tadbir urus dan integriti lebih mantap, Najib yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelupusan sebahagian baki pinjaman saham Felda Global Ventures Holdings Berhad (FGV).

“Seramai 77,934 peneroka yang sedang membayar pinjaman saham FGV akan dilupuskan baki pinjaman mereka dengan kadar ringgit ke ringgit,” katanya.
Najib berkata bagi 1,626 peneroka yang telah membayar habis pinjaman, mereka akan menerima ganjaran tunai sebanyak RM1,820.

“Ini melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM128.10 juta. Bagi peneroka yang tidak pernah membuat sebarang bayaran pinjaman saham FGV kepada Felda, tidak akan menerima insentif ini,” katanya.
Beliau turut mengumumkan insentif pelupusan hutang tanam semula berjumlah RM5,000 bagi setiap peneroka yang memilih untuk tanam semula melalui Felda melibatkan peruntukan keseluruhan RM519 juta.

Selain itu, dana khas pelupusan lebihan hutang tanam semula turut diwujudkan melibatkan peruntukan RM300 juta bagi tempoh 5 tahun bermula tahun 2017 hingga 2021 bagi melupuskan hutang kos operasi melebihi jangkaan RM40,000.

“Ini bermakna, jika hutang bagi kos operasi tanam semula adalah berjumlah RM60,000, sebanyak RM20,000 akan dilupuskan menggunakan dana khas ini, menerusi penilaian berdasarkan permohonan yang dihantar dan diluluskan oleh jawatankuasa di peringkat Felda,” jelasnya.
Najib juga mengumumkan pembentukan geran khas tanam semula peneroka yang diluluskan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) kepada Felda dengan kadar RM7,500 per hektar bagi program tanam semula Felda bermula tahun ini hingga 2020.
“Ini melibatkan keluasan 24,280.31 hektar dengan peruntukan RM166.6 juta untuk 4 tahun tersebut,” katanya.

Bagi menambah keceriaan dalam membina keluarga untuk peneroka Felda, Najib turut mengumumkan kelulusan membina lebih 1 unit rumah di dalam 1 tapak.

Sehingga kini, katanya, terdapat 4,711 peneroka yang mempunyai 2 rumah di dalam 1 tapak manakala 70,506 tapak rumah lagi dipercayai sesuai untuk dilaksanakan mengikut kaedah itu.
“Bagi mengatasi masalah rumah generasi baharu Felda pula, Felda dan kerajaan negeri akan bekerjasama bagi meluluskan permohonan pembinaan rumah lebih daripada 1 unit di atas 1 tapak. Kos pembinaan rumah adalah melalui pembiayaan sendiri,” katanya.

Perdana menteri menegaskan insentif-insentif itu diberikan kepada 94,956 peneroka yang layak penuh iaitu kebun mereka diurus oleh Felda atau menghantar hasil kepada Felda.
Menurutnya,  mereka yang bermuafakat bersama Felda itu turut setia membayar hutang-hutang yang didahulukan oleh Felda seperti hutang tanam semula dan pembesaran rumah.
Tambahnya, mereka juga turut mencarum di dalam beberapa tabung yang diuruskan Felda seperti tabung tanam semula dan tabung keceriaan kampung.

Dalam pada itu, Najib berkata atas nawaitu (niat) yang mulia dan semangat permuafakatan, buat pertama kalinya, beliau mengumumkan akan memberi peluang kepada 17,679 peneroka yang tidak menghantar hasil kepada Felda dan peneroka yang menyaman Felda, untuk kembali bermuafakat bersama Felda.

“Namun begitu, waktu untuk kembali bermuafakat bersama Felda ini adalah bagi tempoh 6 bulan, bermula Ogos 2017 dan memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan Felda,” katanya.
Najib berkata bagi peneroka yang kembali bermufakat nanti, mereka layak untuk menerima 6 insentif tersebut bermula Februari 2018.
 
Copyright © 2014 PenangKini.