BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

Otai Reformis tolak kepimpinan Dr Mahathir

Setiausaha Otai Reformis 1998 Abdul Razak Ismail hari ini meletakkan jawatan kerana tidak bersetuju dengan penyertaan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam Pakatan Harapan.

Abdul Razak dalam satu kenyataan berkata, beliau mengambil keputusan menentang Pakatan Harapan pada pilihan raya umum akan datang dan akan bertanding atas tiket Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Sehubungan itu, beliau juga membuat tiga tuntutan.

“Menolak kepimpinan Mahathir di peringkat parti sebagai Pengerusi Pakatan Harapan atau di peringkat kerajaan sebagai perdana menteri atau menteri kanan atau penasihat sekiranya Pakatan Harapan berjaya mengambil alih pentadbiran di Putrajaya.

“Menuntut Pakatan Harapan untuk memasukkan dalam manifesto PRU14 Pakatan Harapan penubuhan Suruhanjaya Keamanan dan Keadilan bagi mengadili segala tuduhan ke atas Mahathir,” katanya dalam satu kenyataan.

Selain itu, Otasi Reformis juga mengambil keputusan supaya mana-mana ahlinya yang mempunyai jawatan dalam mana-mana parti Pakatan Harapan untuk melepaskan jawatan yang disandang.

Sehubungan itu, pengerusi gerakan itu, Saari Sungib yang juga adalah ADUN Hulu Kelang dan Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara Selangor melepaskan jawatannya.

Malaysiakini sedang cuba menghubungi Abdul Razak dan Saari untuk maklumat lanjut dan mendapatkan ulasannya.

Gerakan reformasi ditubuhkan selepas Mahathir memecat timbalannya, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada September 1998.

Mahathir menuduh Anwar tidak bermoral dan tidak sesuai untuk memimpin negara itu, manakala timbalannya itu mendakwa perdana menteri merekayasa tuduhan salah laku seks dan penyalahgunaan kuasa ke atasnya.

Berikutan pemecatannya dan pemenjaraannya, puluhan ribu penyokong Anwar turun ke jalanan dan menentang Mahathir, yang sering-kali mencetuskan pertempuran ganas dengan polis.


Susulan pembebasannya dari penjara, Anwar menubuhkan PKR dan kemudiannya menjadi ketua pembangkang serta ketua umum Pakatan Harapan hari ini.

Anwar, sedang menjalani hukuman penjara lima tahun atas tuduhan liwat lain, yang juga didakwanya direkayasa. Beliau kini bersetuju untuk bekerjasama dengan Mahathir untuk menumbangkan BN dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Minggu lalu, Mahathir sekali lagi mempertahankan keputusannya untuk memecat Anwar pada tahun 1998.

6465
 
Copyright © 2014 PenangKini.