BREAKING NEWS

Tuesday, 25 July 2017

'Ottu Kadai' warisan hampir pupus


IBARAT kedai runcit pandu lalu! Itu gambaran unik secara ringkas kepada kedai runcit kecil seperti pondok atau nama panggilannya 'Ottu Kadai' dalam kalangan penduduk tempatan.
Hanya berkeluasan tiga meter panjang dan 1.5 lebar, Ottu Kadai boleh ditemui di sekitar Jalan Little India, Jalan Anson dan Jalan Datuk Keramat, di Pulau Pinang.
Oleh kerana saiznya yang agak kecil, ramai yang seakan-akan tidak peduli dengan kewujudan Ottu Kadai, yang kini hanya boleh ditemui di negeri ini.
Nama Ottu Kadai berasal daripada perkataan bahasa Tamil yang bermaksud 'kedai tersangkut'. Nama berkenaan diberikan oleh penduduk tempatan berikutan keadaan fizikal Ottu Kadai yang kecil dan dibina di antara deretan bangunan kedai lain.
Difahamkan, Ottu Kadai diasaskan oleh pendatang dari India sebagai satu medium untuk menjual pelbagai keperluan asas dari India kepada warganya di negeri ini.
Meskipun tiada transkrip rasmi berhubung sejarah kewujudan Ottu Kadai di Pulau Pinang, ia tetap memainkan peranan yang signifikan terutamanya kepada pembentukan sejarah dan budaya di negeri ini.
PRESIDEN Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd Yussof Latiff
Antara individu yang menjadi saksi kepada kewujudan Ottu Kadai adalah Presiden Persatuan Melayu Pulau Pinang (PEMENANG), Tan Sri Mohd Yussof Latiff, yang kini berusia 85 tahun.
Ceritanya, Ottu Kadai adalah bukti kehadiran pedagang dari India ke Tanah Melayu pada zaman sebelum merdeka dan ia diasaskan sejak tahun 1930-an atau 1940-an lagi.
"Ottu Kadai adalah identiti kepada masyarakat India. Pada asalnya, mereka hanya menjual pelbagai keperluan asas dari India kepada warganya di negeri ini, seperti rokok, cerut, sirih dan herba.
"Tetapi Ottu Kadai berhadapan dengan nasib malang ketika Jepun datang ke Tanah Melayu, apabila semua Ottu Kadai terpaksa ditutup kerana pemerintahan Jepun yang sangat kejam," katanya ketika dihubungi BH.
Ottu Kadai mula dibuka semula selepas British mengambil alih pemerintahan negara dan dinaik taraf dengan turut menjual pelbagai barangan keperluan lain.
Kata Mohd Yussof, seiring dengan peredaran masa, Ottu Kadai kini menjual pelbagai keperluan lain seperti makanan ringan, majalah, buku tulis, ubat-ubatan, malah tidak ketinggalan, aksesori telefon bimbit.
"Walaupun banyak pusat beli-belah yang dibuka di Pulau Pinang, Ottu Kadai tetap berdiri teguh. Ramai yang masih gemar membeli di Ottu Kadai kerana harganya yang lebih murah serta bersifat pandu lalu," katanya.
PEMILIK Ottu Kadai, Anwar Sadhath Mohd Ismail, 33, melayan pelanggannya menerusi kaedah pandu lalu. - Foto Ramdzan Masiam
Mohd Yussof berkata, Ottu Kadai perlu diiktiraf sebagai satu warisan di Pulau Pinang berikutan kepupusan kedai runcit kecil seumpama itu di Kuala Lumpur.
Katanya, Ottu Kadai yang hanya wujud di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, mengalami kepupusan di ibu kota akibat kepesatan pembangunan, selain tidak lagi tidak diterima penduduk tempatan, terutamanya generasi muda.
"Sayang jika Ottu Kadai di Pulau Pinang mengalami nasib yang sama seperti di Kuala Lumpur. Mahu atau tidak, Ottu Kadai adalah sebahagian daripada warisan sejarah yang harus dipulihara," katanya.
Sementara itu, pemilik Ottu Kadai di Jalan Transfer, di Georgetown, di sini, Anwar Sadhath Mohd Ismail, 33, berkata meskipun Ottu Kadai sudah wujud sejak puluhan tahun lalu, ia tetap tidak terkecuali daripada menerima tempias cabaran ekonomi semasa negara.
Anwar Sadhath berkata, beliau pernah berhadapan dengan situasi genting ketika negara mengalami kemerosotan ekonomi pada tahun 1997 hingga 1998.
ANTARA lokasi 'Ottu Kadai' di sekitar Jalan Little India. - Google Map
"Walaupun kedai ini kecil, kita juga berasa susah hati sebab pelanggan tidak mahu beli. Pada waktu itu, pendapatan amat berkurangan dan hanya mampu memperoleh sekitar RM20 hingga RM40 sehari sahaja.
"Sekarang, Alhamdulillah, ekonomi sudah semakin baik. Tetapi kita tetap khuatir kerana bersaing dengan banyak kedai dan pusat beli-belah lain," katanya ketika ditemui BH, baru-baru ini.
Anwar Sadhath adalah pewaris kedua Ottu Kadai yang dibina ayahnya, Mohd Ismail Abdullah, 73, seorang pedagang berketurunan India Muslim dari Chennai, India, pada tahun 1970.
Ottu Kadai yang dibuka setiap hari itu mampu memperoleh keuntungan bersih sehingga RM5,000 sebulan.
Anwar Sadhath yang tidak mempunyai pembantu kedai berkata, setakat ini, Ottu Kadai miliknya tidak pernah berhadapan dengan sebarang kejadian jenayah walaupun dibuka dari jam 7 pagi hingga awal pagi.
Namun, sebagai langkah berjaga-jaga, Anwar Sadhath turut memasang kamera litar tertutup (CCTV) di luar dan di dalam kedainya.
OTTU Kadai tetap berdiri teguh walaupun berdepan saingan. - Foto Ramdzan Masiam
"Selama 45 tahun ditubuhkan, Ottu Kadai ini tidak pernah dimasuki pencuri walaupun sistem keselamatan serta pintu kedai tidak canggih seperti bangunan kedai lain," katanya.
Bapa kepada tiga anak ini turut berharap Ottu Kadai dapat diwarisi oleh anaknya bagi memastikan kesinambungan kedai warisan ini.
Beliau mengakui masa hadapan Ottu Kadai masih samar, namun beliau tetap mahu melihat kedai runcit kecil berkenaan terus 'hidup' di tengah-tengah kepesatan pembangunan bandar raya Pulau Pinang.

"Saya tidak tahu sama ada anak saya mahu teruskan perniagaan ini atau tidak, tetapi saya berharap Ottu Kadai dapat diwariskan dan menjadi punca rezeki utama kepada keluarga kami," katanya.
Sementara itu, Timbalan Pengarah Tourism Malaysia Pulau Pinang, Haryanty Abu Bakar, berkata Ottu Kadai boleh dicari dalam setiap lingkungan radius 500 meter di Georgetown.
Haryanty berkata, pihaknya menyedari kewujudan Ottu Kadai sebagai satu warisan sejarah di Pulau Pinang yang perlu terus dipelihara.

Kita tahu mengenai Ottu Kadai, kerana itu kita turut meletakkan sedikit latar belakang Ottu Kadai dalam laman sesawang rasmi kami sebagai rujukan dan tarikan kepada pelancong yang mahu datang ke Pulau Pinang.
"Selain itu, kita juga turut mempromosi Ottu Kadai dalam siri jelajah promosi pelancongan kami. Ottu Kadai yang dibuka sehingga awal pagi sering membantu pelancong, selain harga barangannya yang lebih murah," katanya

BH

 
Copyright © 2014 PenangKini.