BREAKING NEWS

Sunday, 16 July 2017

Pakatan 3 nakhoda akan tenggelam di lautan politik - Zahid Hamidi


Tindakan pembangkang meletakkan 3 nama sebagai pemimpin teratas dalam pakatan mereka boleh diumpamakan sebuah kapal 3 nakhoda yang bakal tenggelam kerana haluan berbeza, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata, rakyat perlu menilai bagaimana sebuah pakatan mampu bergerak apabila setiap pemimpinnya mempunyai haluan sendiri tanpa adanya pemimpin utama.
“Lazim hukum akal, kapal yang ada 3 nakhoda akan terumbang ambing (kerana) ada yang mahu ke kanan dan ke kiri, (akhirnya) kapal akan tenggelam. Pakatan 3 nakhoda akan tenggelam di lautan politik.
“Kita bukan mahu mempertikaikan soal dalaman mereka, tetapi mahu rakyat analisis jika hala tuju berbeza ke mana haluan mereka. Lihat rekod kejayaan kita (Barisan Nasional) yang mampu membela rakyat hasil konsep perkongsian kuasa,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan Umno Bahagian Ledang di Kolej Kemahiran Tinggi Mara hari ini.
Turut hadir Ketua Umno Bahagian Ledang, Datuk Hamim Samuri yang juga timbalan menteri sumber asli dan alam sekitar serta kira-kira 800 perwakilan bahagian itu.
Kelmarin, Pakatan Harapan mengumumkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai pengerusi gabungan pembangkang itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim dinamakan ketua umum, manakala isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden.

Zahid berkata, melalui konsep perkongsian kuasa, BN terbukti berjaya membela nasib rakyat dan Umno sebagai sebuah parti utama pakatan itu tidak pernah melupakan perjuangannya demi orang Melayu dan agama Islam.

“Umno perjuangan Melayu dan Islam tidak dilupakan, tetapi dalam masa sama, bukan Melayu dan bukan Islam juga tidak pernah kita lupakan atas dasar perkongsian kuasa BN,” katanya.
Beliau berkata, tsunami Melayu yang dicanang pihak pembangkang menjelang pilihan raya umum ke-14 hanyalah perang psikologi demi mendapatkan sokongan rakyat.

“Mereka mengajak orang Melayu wujudkan satu gelombang sokongan kepada mereka, walapun tahu sokongan (kepada) mereka adalah pada tahap minimum. Pilihan raya bukan berasaskan kajian, tetapi kerja sebenar parti, justeru kita harus memenangi minda dan hati pengundi.”
Sementara itu, dalam sidang media kemudian, Zahid percaya Pakatan Harapan akan mendaftar sebagai entiti politik dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan akhirnya meletakkan calon dengan lambang sama untuk pilihan raya umum akan datang.

Sehubungan itu, beliau meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) memastikan ia komited memenuhi peraturan Akta Pertubuhan 1966 sebagai sebuah entiti gabungan parti politik.
“Tentunya JPPM akan bertindak profesional mengikut perundangan yang ada seperti diperuntukkan dalam Akta Pertubuhan 1966 serta meneliti perlembagaan parti berkenaan,” katanya.

 
Copyright © 2014 PenangKini.