BREAKING NEWS

Wednesday, 12 July 2017

PAN tuduh PAS punca perselisihan Azmin-Guan Eng



12 JULAI: PAN menyalahkan PAS sebagai punca perselisihan di antara Datuk Seri Azmin Ali dan Lim Guan Eng berhubung kewujudan Pakatan Rakyat (PR) di Selangor.

Walau bagaimanapun menurut Timbalan Presidennya, Salahuddin Ayub perselisihan itu tidak akan menjejaskan sokongan rakyat kepada PH.

“Bagi PAN, kita sangat yakin dan percaya rakyat Selangor faham tentang apa yang berlaku kerana PAS sebenarnya menjadi punca masalah,” katanya.

Beliau turut menyalahkan parti Islam itu enggan keluar daripada kerajaan Selangor, walaupun mereka sudah memutuskan hubungan dengan PKR.

“Sikap PAS yang berdolak-dalik walaupun dalam muktamar mereka memutuskan hubungan dengan PKR, tetapi masih tidak mahu keluar dari kerajaan Selangor,” katanya lagi kepada portal FMT.

Dalam pada itu jelas Salahuddin PAN mengambil sikap berkecuali dalam pertikaian tersebut.

Jelasnya, PAN menganggap PR tidak wujud lagi dan yakin perbezaan pendapat antara 2 pemimpin Pakatan Harapan (PH) itu boleh diselesaikan melalui mesyuarat Majlis Presiden gabungan berkenaan.

“Bagi PAN, Pakatan Rakyat tidak wujud lagi. Saya rasa dengan wujudnya Majlis Presiden Pakatan Harapan, ia merupakan satu mekanisme terbaik untuk selesaikan kemelut di Selangor ini.

“Saya sangat yakin krisis ini boleh diselesaikan melalui rundingan dalam mesyuarat Majlis Presiden dan isu antara Azmin dan Guan Eng bukan parkara tidak boleh diselesaikan,” katanya.

Baru-baru ini, Azmin yang juga menteri besar Selangor dilaporkan berkata, PR yang dibubarkan masih hidup dalam kerajaan Selangor kerana ia adalah “mandat rakyat”.

Guan Eng yang juga setiausaha agung DAP bagaimanapun mengingatkan timbalan presiden PKR itu, PR tidak wujud lagi.

Penasihat DAP, Lim Kit Siang turut menyifatkan kenyataan Azmin “sangat mengejutkan dan tidak dapat diterima”.

PR dibentuk pada 2008 oleh PAS, PKR dan DAP, sebelum dibubarkan pada 2015 berikutan pertikaian isu hudud antara PAS dan DAP.

DAP kemudiannya bersama PKR dan PAN – parti serpihan PAS membentuk PH pada 2015. Mac lalu, PPBM menyertai gabungan pembangkang itu, namun PKR terus bekerjasama dengan PAS dalam kerajaan Selangor.
 
Copyright © 2014 PenangKini.