BREAKING NEWS

Saturday, 8 July 2017

PAS PULAU PINANG DAKWA HARI BANDAR WARISAN DUNIA TIDAK MEMBERI ERTI

Pas Pulau Pinang menggesa Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan manifesto dan janji mereka berkaitan isu warisan di negeri ini termasuk hala tuju Enakmen Warisan Negeri Pulau Pinang 2011 yang pernah diwartakan.
Ini kerana menurut Pesuruhjayanya, Muhammad Fauzi Yusof berkata, Kerajaan DAP Pulau Pinang ketika ini dilihat seolah-olah lebih menumpukan kepada warisan kolonial peninggalan penjajah.
Menurut beliau, keadaan itu menimbulkan persoalan sama ada tumpuan kepada warisan kolonial itu memberi `perolehan’ kepada kerajaan negeri sehingga warisan sendiri cuba dihilangkan sekali gus membenarkan pandangan awam DAP pro kepada ‘pihak asing’.
Sehubungan itu, katanya, sambutan Hari Bandar Warisan Dunia Georgetown esok tidak memberi erti dan hakikat yang penting kepada penduduk negeri ini terhadap usaha memahami, memelihara dan memulihara nilai-nilai warisan apabila warisan sendiri tidak dihargai dan dipertahankan.
“Sambutan itu sebaliknya hanya menghadirkan rasa jengkel dan terkilan apabila warisan pihak lain dikekal, dijamin dan dibanggakan, tetapi warisan sendiri bakal terkubur dan lenyap.
“Bukankah ini satu malapetaka kepada bangsa dan tanah air serta segala identiti dan sejarahnya?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Georgetown akan meraikan Hari Tapak Warisan Dunia esok selepas memperoleh pengiktirafan itu daripada Pertubuhan Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNESCO) pada Julai 2008.
Dalam pada itu, Muhammad Fauzi turut mempertikai kedudukan Kerajaan DAP Pulau Pinang sebagai wakil UNESCO dalam menjaga elemen warisan yang wujud di negeri ini.
Tetapi dalam masa sama, kata beliau, kerajaan negeri juga dilihat seolah-olah turut menjadi pengancam dan akan menghilangkan semua elemen warisan itu dalam sejarah negeri ini.
“Bukankah ini kontradik dan tentunya dipengaruhi kepentingan atau agenda tersembunyi?
“Apakah semua itu sekadar mengaburi mata rakyat dan umpan pilihan raya umum seterusnya akan kekal bersikap hipokrit lantaran haloba mengejar perolehan, lalu membunuh dan mematikan sendiri nilai bangsa dan negeri?
“Suatu masa, rakyat Pulau Pinang perlu menggantikan sambutan Hari Warisan ini sebagai ‘ratapan’,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.