BREAKING NEWS

Tuesday, 18 July 2017

PCM dakwa pembida projek tidak penuhi syarat,Gesa siasat syarikat pembinaan terowong

GEORGETOWN 17 Julai - Parti Cinta Malaysia (PCM) hari ini meminta polis menyiasat dakwaan kerajaan Pulau Pinang telah menganuge­rahkan projek kepada sebuah syarikat yang mempunyai modal di bawah paras ditetapkan, ketika membida projek terowong dasar laut.


Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan berkata, beliau telah membuat laporan polis semalam mengenai dakwaan itu supaya siasatan dapat dilakukan bagi memastikan sama ada wujud penipuan atau unsur salah guna kuasa dalam proses pembidaan projek berkenaan.


Menurutnya, sesebuah syarikat disyaratkan untuk mempu­nyai sejumlah modal yang di­tetapkan, sebelum boleh membida sesuatu projek.

“Bagaimanapun syarikat yang berjaya membida projek ber­kenaan dikatakan memiliki mo­dal bernilai 1,900 kali ganda lebih rendah daripada paras minimum ditetapkan Jabatan Kerja Raya (JKR),” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.


Beliau berkata, PCM berhasrat mengemukakan laporan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam masa terdekat supaya siasatan terperinci dapat dilakukan.

Projek terowong dasar laut sepanjang 7.2 kilometer yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai dan tiga jalan utama itu dianugerahkan kepada Konsortium Zenith BUCG Sdn. Bhd., yang terdiri daripada beberapa syarikat.

Projek itu sebelum ini mencetuskan pelbagai kontroversi an­taranya berhubung kos kajian kebolehlaksanaan yang terlalu tinggi selain kaedah pembayaran yang melibatkan pertukaran ta­nah kerajaan negeri serta pelaksa­naannya dibantah penduduk ne­geri yang bimbang dengan impak ekonomi, sosial dan alam sekitar.

Terdahulu, Cheng Guan turut membidas tindakan Zenith yang akan memfailkan injunksi bagi melarang pihak ketiga daripada mengeluarkan sebarang kenya­taan berhubung projek terowong dasar laut, di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang, Khamis ini.

“Adakah mereka cuba me­nyembunyikan sesuatu daripada pengetahuan orang ramai? Permohonan injunksi ini membuktikan bahawa istilah telus yang dilaungkan oleh kerajaan Pulau Pinang sudah mati,” kata­nya. – BERNAMA









 
Copyright © 2014 PenangKini.