BREAKING NEWS

Wednesday, 5 July 2017

Pemansuhan tarif insurans untungkan pemandu berhemah

KUALA LUMPUR 4 Julai - Pengumuman pemansuhan tarif insurans motor oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan pengenalan penetapan harga yang lebih fleksibel dijangka akan menguntungkan pemandu yang berhemah di jalan raya.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, liberisasi itu akan mengimbangkan risiko kemalangan sesebuah kenderaan dengan keuntungan pengguna yang membayar premium insurans tersebut.


“Jika kita berhemah dan menjadi pengguna jalan raya yang mengikut undang-undang dalam negara, liberisasi tarif ini akan memberi kelegaan dan keuntungan kepada kita.

“Ini merujuk kepada sistem ‘koin’ yang digunakan iaitu pemandu yang mempunyai rekod saman yang buruk perlu membayar insurans lebih tinggi. Yang mungkin bimbang adalah pemandu bas atau pengangkutan awam yang memandu dengan laju dan sebagainya,” katanya kepada pemberita dalam Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) 2017 di sini hari ini.

BNM mengumumkan pemansuhan tarif pada Sabtu lalu di mana harga insurans tidak lagi dikawal BNM sebaliknya syarikat insurans akan meletakkan harga sendiri mengambil kira risiko yang dihadapi pemandu kenderaan.

Antara aspek yang bakal diambil kira adalah rekod tuntutan, kegunaan kereta, model dan jenis kenderaan, pekerjaan, umur, tempat tinggal dan sebagainya.

Dalam perkembangan lain, Hamzah berkata, kementerian akan mengumumkan mekanisme bagi membantu pengusaha stesen minyak elak kerugian di bawah sistem penetapan harga sedia ada dalam masa terdekat.

Katanya, pihaknya akan mencari jalan keluar ‘menang-menang’ yang memanfaatkan semua termasuk syarikat minyak, pengedar, pengusaha stesen dan terutamanya rakyat.

“Bagaimanapun, orang ramai tidak perlu bimbang sama ada kos kerugian akan ditanggung pengguna kerana penetapan harga minyak akan tetap mengikut formula sedia ada dan tidak akan berubah.

“Kita khuatir jika harga minyak terus turun dan pengusaha minyak terus mengalami kerugian, mereka akan menutup perniagaan dan ini akan menyusahkan pengguna,” katanya.

UTUSAN
 
Copyright © 2014 PenangKini.