BREAKING NEWS

Saturday, 1 July 2017

Pembangkang Terpaksa Guna Taktik Lencongan Untuk Tutup Isu RCI Forex

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Tan Sri Annuar Musa berkata pembangkang terus memainkan isu saman Jabatan Kehakiman (DoJ) Amerika Syarikat kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain sebagai modal politik.
Jelas beliau tindakan pembangkang itu juga sebagai taktik mereka untuk melencongkan keputusan Kabinet menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kerugian pertukaran asing (forex) dialami Bank Negara Malaysia (BNM) sekitar 1980-an dan 1990-an.
“Pembangkang juga cuba memanipulasi laporan DoJ untuk mengalih tumpuan daripada krisis dalaman yang berkaitan dengan keyakinan terhadap kepemimpinan Parti Pribumi Bersatu (PPBM).
“Pembangkang sengaja mengitar semula laporan DoJ yang bermotivasi politik untuk membangkitkan isu 1MDB yang telah selesai”, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ini tambah beliau jelas hanyalah taktik lencongan.
“Pembangkang dan proksi merekalah yang bertanggungjawab menyebabkan campur tangan negara asing dalam negara kita yang demokratik dan berdaulat ini dengan memberi maklumat kepada DoJ, satu perbuatan khianat yang amat mengaibkan bagi memuaskan agenda politik demi kepentingan diri sendiri,” ujarnya.
Annuar berkata, keputusan Kabinet untuk membentuk RCI bagi menyiasat kerugian forex yang dialami oleh Bank Negara yang dikatakan membabitkan wang rakyat bernilai sehingga RM100 bilion telah mewujudkan keadaan panik dalam kalangan pembangkang.
“Kita semua maklum mengenai dalang yang bertanggungjawab terhadap kerugian besar ini dan pembangkang berada dalam keadaan huru-hara kerana tidak mahu kehilangan Tun Dr Mahathir Mohamad dalam menghadapi pilihan raya umum yang akan datang.
“Mereka tahu jika kebenarannya diketahui umum, pembangkang dan kepimpinannya akan  ditelanjangi di khalayak ramai.
“Ini boleh membawa padah besar dalam pilihan raya nanti,” katanya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.