BREAKING NEWS

Monday, 24 July 2017

'Pembangunan semula negara kelirukan rakyat’

Pakatan Harapan yang diketuai DAP disifatkan cuba mengelirukan pemikiran rakyat dengan menggunakan perkataan 'membangun semula negara' semata-mata mahu meraih undi.

Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, perkataan yang digunakan oleh pembangkang itu didapati jauh menyimpang daripada hakikat sebenar yang menyaksikan Malaysia pada ini telah mengalami pembangunan yang pesat hasil daripada tadbir urus kerajaan yang dipimpin Barisan Nasional (BN) sejak 60 tahun yang lalu.


Malah, kerajaan BN pada hari ini juga terus merangka pembangunan rakyat dan negara pada masa depan melalui program Transformasi Negara 2050 (TN50) untuk generasi akan datang.

“Pembangkang perlu menyedari dan menerima hakikat bahawa pelbagai dasar yang telah dilakukan kerajaan BN sepanjang 60 tahun lalu dalam pelbagai perkara untuk kepentingan rakyat sama ada pendidikan, kesihatan, biasiswa, ekonomi dan sosiobudaya.

“Namun, kita tidak hairan jika pembangkang Rakyat mahu menafikannya usaha BN itu kerana mereka khususnya DAP terlalu teringin untuk memerintah negara termasuk membawa agenda kesamarataan mereka dengan mengelirukan rakyat. Malah, mereka sanggup melemparkan fitnah untuk menjatuhkan Perdana Menteri,”katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan itu berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Sungai Besar di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md. Yunos; Ketua UMNO Bahagian Ampang, Datuk Ismail Kijo, Ketua UMNO Bahagian Kapar, Datuk Faizal Abdullah yang mewakili Badan Perhubungan UMNO Selangor.

Terdahulu, Mahdzir yang juga Ahli Parlimen Padang Terap ketika berucap berkata, walaupun Pakatan Harapan telah mengumumkan barisan kepimpinan mereka baru-baru ini, namun mereka masih tidak mampu menentukan siapa calon Perdana Menteri dalam kalangan mereka sendiri.

“Kalau bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad menyifatkan dirinya sebagai 'top dog', namun sebenarnya parti ini hanya didominasi dan dipergunakan DAP sahaja.

“Pengumuman barisan kepimpinan pembangkang itu hanya sekadar mimpi sahaja kerana sekiranya menjelang pilihan raya, DAP yang akan bertanding kerana mereka memiliki banyak kerusi,” ujarnya.
 
Copyright © 2014 PenangKini.