BREAKING NEWS

Monday, 31 July 2017

Penafian Anugerah Palsu oleh datuk bandar Pelik & janggal - Datuk Seri Zainal Abidin

Umno Pulau Pinang menyifatkan pelik dan janggal untuk datuk bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan wang pembayar cukai digunakan dalam membayar yuran penyertaan kepada sebuah badan meragukan di United Kingdom yang didakwa menawarkan anugerah palsu, pada 2013 dan 2014.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Pulau Pinang, Datuk Seri Zainal Abidin Osman merujuk pengakuan Datuk Maimunah Mohd Sharif, semalam yang MBPP dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) membayar RM39,088.10 kepada Europe Business Assembly (EBA), bukannya untuk membeli anugerah itu, sebaliknya sebagai yuran penyertaan.
“Bukankah pengakuan beliau yang MPPP (Majlis Perbandaran Pulau Pinang kini dikenali MBPP) dan MPSP telah membuat pembayaran kepada EBA untuk menyertai anugerah tersebut adalah satu pengakuan wang pembayar cukai telah digunakan untuk tujuan itu?
“Saya juga berpandangan wang pembayar cukai 2 PBT terlibat turut digunakan untuk menghantar wakil MPPP dan MPSP untuk menghadiri majlis-majlis anugerah yang berlangsung di Montreux, Switzerland pada 2013 dan Stresa, Itali pada 2014,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, Zainal yang juga pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan
Negeri Pulau Pinang menasihatkan 2 pihak berkuasa tempatan (PBT) itu lebih berhati-hati pada masa depan apabila ditawarkan anugerah dan pengiktirafan oleh pihak luar.
“Kontroversi ini menunjukkan slogan CAT (cekap, akauntabiliti dan telus) yang digahkan kerajaan Negeri Pulau Pinang gagal dipraktikkan MPPP dan MPSP sehingga mereka terlibat dalam satu ‘scam’ bertaraf antarabangsa yang memalukan seluruh rakyat Pulau Pinang.”
Katanya, lebih baik MBPP dan MPSP memfokuskan perkhidmatan terbaik kepada rakyat Pulau Pinang daripada membelanjakan wang pembayar cukai untuk mengejar anugerah kerana pengiktirafan lebih penting datang daripada rakyat yang berpuas hati dengan perkhidmatan diberikan 2 PBT itu.
Semalam, Maimunah dilaporkan berkata, MPPP dicalonkan menerima anugerah “Best Cities” dan “Best Municipal Manager” dengan yuran penyertaan RM20,680 pada 2013, manakala MPSP dicalonkan anugerah ‘Best City’ dan ‘Best City Manager’ dengan yuran penyertaan RM18,408.10 pada 2014.
Beliau berkata, mereka tidak tahu EBA ialah badan antarabangsa yang mengaut keuntungan melalui penjualan anugerah dan sijil palsu kerana tiada perkara mencurigakan ketika mereka menerima anugerah itu.


“Kami tidak menyedari sebarang perkara mencurigakan kerana bukan 2 PBT dari Pulau Pinang sahaja, PBT lain serta institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, orang ternama dari sektor swasta dan awam turut menerima anugerah EBA, malah bersama kami menerima anugerah itu.”
Katanya, beliau dan Datuk Bandar MPPP ketika itu, Datuk Patahiyah Ismail mendapat kebenaran kerajaan Pulau Pinang untuk menghadiri majlis penganugerahan itu di luar negara.
Beliau berkata, demi menjimatkan wang pembayar cukai, mereka membeli tiket kelas ekonomi, walaupun dibenarkan memilih tempat duduk kelas perniagaan.
“Jika itu ialah anugerah palsu, saya minta maaf. Lain kali jika mahu menyertai atau dicalonkan sebarang anugerah, kami akan lebih berhati-hati,” kata Maimunah.
The Times melaporkan EBA mengiklankan dirinya sebagai sebuah institusi Oxford untuk menjual “hadiah palsu” seperti “Anugerah Socrates Antarabangsa” dan “Anugerah Peringatan Permaisuri Victoria” sehingga £9,300 (RM52,000).
Laporan itu mendakwa EBA dikendalikan ahli perniagaan Ukraine yang menyasarkan syarikat dan pertubuhan di negara membangun dengan menjaja nama Universiti Oxford.
Universiti Oxford bagaimanapun menafikan mereka ada kaitan dengan EBA

Sumber : FMT
 
Copyright © 2014 PenangKini.