BREAKING NEWS

Monday, 3 July 2017

Pendedahan Rafizi hanya memakan diri sendiri - MT Umno


SHAH ALAM: 'Tabiat' Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang gemar membuat pendedahan demi pendedahan bertujuan menjatuhkan kerajaan sebenarnya hanya memakan dirinya sendiri.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Bung Mokhtar berkata, pendedahan Rafizi konon kelihatan seolah-olah sahih, namun akhirnya hanya menjerat dirinya sendiri apabila 'bukti' dakwaannya itu tidak kukuh dan diperoleh secara 'serkap jarang'.

"Dia (Rafizi) menganggap dirinya sebagai 'whistle-blower' tetapi kita di dewan rakyat menganggap dia sebagai 'trumpet-blower', bukan sebagai pemberi maklumat untuk mendedahkan sesuatu.

"Apa yang dia hujah itu, apa yang dia tuduh itu akhirnya seolah-olah dia melepaskan batuk di tangga, tidak ada tanggungjawab secara langsung sampai penghujungnya.

"Tetapi akhirnya samada dia didakwa di mahkamah atau dia memohon maaf, ataupun apa yang diperkatakannya itu berhenti di situ sahaja," katanya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.

Malah kata Ahli Parlimen Kinabatangan itu juga, tabiat Rafizi itu sebenarnya telah banyak menjejaskan nama baik negara apabila pendedahan tersebut hanya 'tergantung' lantaran ia hanya berdasarkan dakwaan semata-mata.

Menurutnya, disebabkan itu, rakyat kini sudah mula menyedari bahawa 'pendedahan' Rafizi itu tidak berasaskan bukti yang kukuh.

"Sebetulnya memang politik sebegini tidak boleh diamalkan sebab kalau dia membuat tuduhan kepada kerajaan dari segi menurunkan ekonomi negara ataupun menakutkan pelabur-pelabur dan negara kita, menakutkan pelancong datang, ini sudah tentu akan merugikan ekonomi negara dan sudah tentu impaknya juga bukan sahaja kepada ekonomi negara tetapi kepada rakyat biasa.

"Mula-mula memang orang percaya, tetapi akhirnya dia terperangkap dengan permainan dia sendiri dan orang lihat dia sudah tidak ada kredibiliti.

"Bukan sahaja orang yang berpendidikan, tetapi orang di kampung juga telah merasa tertipu oleh banyak wakil rakyat termasuk Rafizi dengan pendedahan demi pendedahan kononnya ada yang mahu didedahkan, ada penyelewengan, ada pembohongan, penipuan dan sebagainya tetapi tidak ada satu pun yang berjaya diselesaikan, ataupun misi yang dibawanya itu ada penghujungnya iaitu ada pendakwaan, penyiasatan dan sebagainya," katanya.

Rafizi merupakan individu yang ligat membuat pendedahan membabitkan kerajaan, termasuk skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beberapa bulan lalu, beliau menuduh pula bekas rakan tahaluf partinya, PAS menerima dana jutaan ringgit daripada syarikat 1MDB melalui bekas Timbalan Presidennya, Datuk Nasharuddin Mat Isa. Bagaimanapun Nasharuddin menafikan tuduhan itu dan mengatakan ia adalah fitnah Rafizi.

Terbaru, pemimpin PKR itu memohon maaf ekoran tersilap mengenal pasti seorang wanita, FLorence Goh yang didakwanya terlibat dalam pelantikan firma pelobi untuk kerajaan Malaysia. -antarapos
 
Copyright © 2014 PenangKini.