BREAKING NEWS

Tuesday, 4 July 2017

Penduduk Kampung masjid bantah tanah wakaf diambil alih


GEORGETOWN: Lebih 500 penduduk di Kampung Masjid di sini, berhimpun bagi membantah usaha penjualan tanah wakaf di kawasan itu. Jurucakapnya, Abdul Razak Mansor, 64, berkata bantahan itu dibuat selepas penduduk setempat menerima surat bancian daripada pihak pemaju yang tidak dikenal pasti, berhubung usaha penjualan tanah wakaf Lot 308 dan Lot 1,956 di kawasan itu, mulai 14 Jun lalu.

 Beliau yang juga Pengerusi Kariah Masjid Jamek Hashim Yahaya, berkata penduduk juga tidak diberi sebarang penjelasan mengenai hasrat pengambilalihan tanah wakaf itu, selain gagal mengenal pasti organisasi yang mengendalikan bancian itu. "Tindakan ini antara lain disifatkan sebagai usaha memperjudi serta mengancam keselesaan, kepentingan dan hak penduduk setempat, selain penghuni di kawasan ini berhadapan ancaman diusir daripada kediaman masing-masing.

"Setakat ini, penduduk tidak menerima sebarang penjelasan, sama ada daripada pihak kerajaan negeri, Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) mahu pun pemaju. "Justeru, kami menganjurkan demonstrasi aman di sini, sejurus selesai solat Jumaat bagi menyatakan bantahan terhadap projek pembangunan semula tanah wakaf di kampung ini," katanya di sini. Beliau berkata, pada masa ini sebanyak 100 rumah penduduk dibina di atas tapak tanah wakaf itu seluas 4.5 hektar. Terdahulu, penduduk setempat turut menandatangani kain rentang sebagai protes membantah tindakan pemerasan dikatakan dilakukan pemaju swasta yang mahu membeli dua lot tanah wakaf itu, dipercayai bagi tujuan pembangunan lebih 400 unit kediaman berstrata.

Pemaju terbabit dikatakan memaksa penduduk menandatangani borang persetujuan penjualan lot tanah berkenaan tanpa melalui saluran betul dan sah. Dokumen bancian itu juga tidak ditandatangani mana-mana kepimpinan kerajaan negeri atau pihak berkaitan. BH



 
Copyright © 2014 PenangKini.