BREAKING NEWS

Thursday, 13 July 2017

PENDUDUK LADANG BATU KAWAN DI BERI NOTIS KELUAR RUMAH


BATU KAWAN, 12 Julai - Penduduk Ladang Batu Kawan telah mengadakan satu sidang media hari ini mengenai tuntutan pampasan sewajarnya dari Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Syarikat Pemaju Perumahan.

Dalam Sidang media tersebut, Mathialagan Wakil Penduduk Ladang memberitahu pihak Pemaju Penaga Pesona dan Eco World hanya menawarkan RM 30,000 kepada setiap keluarga yang tinggal di ladang tersebut.

Syarikat tersebut juga telah mengeluarkan notis selama 2 minggu untuk para penduduk mengosongkan rumah dan keluar dari ladang.  Perkara ini telah menimbulkan rasa kemarahan dan tidak puashati di kalangan penduduk kerana pampasan RM 30,000 tidak memadai untuk membeli sebuah rumah baru di Pulau Pinang ketika ini.

Sebenarnya tanah ladang ini merupakan milik PDC dan kini telah dijual kepada pihak pemaju perumahan oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Manogaran, Pengerusi Kuil Ladang Batu Kawan bekata bahawa Prof. Dr. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri 2 Pulau Pinang dan Lim Guan Heng, Ketua Menteri Pulau Pinang telah berjanji dengan penduduk tempatan untuk memberi rumah rumah baru seperti mana dilaksanakan di Kampung Buah Pala.

Mereka turut berjanji untuk memberi tanah serta membina kuil di tempat yang lebih sesuai tetapi kini janji hanya tinggal janji.  Di samping itu, Ahli Parlimen Batu Kawan, Kasturiraani Pattoo juga tidak mengambil berat dalam isu ini.

Pihak Penduduk Ladang kini menuntut Kerajaan Negeri untuk menepati janji dan mereka meminta pampasan yang sewajarnya.

Mathialagan turut memberitahu bawa kes ini telah difailkan di Mahkamah Pulau Pinang  dan menunggu untuk tarikh perbicaraan.

Manakala menurut Ramalinggan, Ketua Bahagian MIC Batu Kawan, ketika BN memerintah Pulau Pinang, tidak pernah berlaku masalah sedemikian namun ketika kerajaan Pakatan, penduduk telah menghadapi pelbagai masalah.

20 keluarga yang  berpendapatan rendah di ladang ini menyeru agar pihak berkuasa memberi satu keadilan dan pampasan sewajarnya kepada mereka.
 
Copyright © 2014 PenangKini.