BREAKING NEWS

Tuesday, 4 July 2017

Shell arah tarik balik iklan selepas poster diraba

Kerana perbuatan beberapa lelaki yang meraba poster gadis iklannya, Shell mengarahkan iklan yang memaparkan gadis bertudung itu ditarik balik dari semua stesen mereka berkuat kuasa serta-merta.
Syarikat minyak itu juga menggesa pengguna Internet untuk tidak lagi menyebarkan imej poster gadis itu yang diubah hingga mempunyai unsur tidak senonoh.
“Kami tidak bersetuju dengan tindakan kurang sopan itu, yang sama sekali dilihat bertentangan dengan budaya Malaysia dan nilai murni Shell,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Shell berkata demikian selepas gambar perbuatan tidak senonoh terhadap poster itu menjadi tular, memaparkan beberapa orang lelaki mencium pipi dan menyentuh dada poster gadis itu.

Model tersebut, Nor Shafila Khairusalleh, 25, mengundang perhatian umum selepas poster realistik beliau ditempatkan di tepi unit pam minyak di stesen Shell.
“Iklan itu akan dikeluarkan dari semua stesen kami berkuat kuasa serta-merta,” kata Shell.
Shafila dilaporkan berkata suaminya turut terkesan dengan perbuatan tidak senonoh itu kerana seolah-olah mencabul maruah isterinya.
Menurut MStar, Shafile bagaimanapun tidak merancang untuk menyaman mana-mana individu yang tidak senonoh itu.
 
Copyright © 2014 PenangKini.